YES LETOP mendapat sambutan meriah

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Jan – Karnival YES LETOP yang berlangsung meriah di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas berakhir semalam dengan sokongan yang hebat daripada orang ramai.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, sekurang-kurangnya 21,500 orang telah hadir memeriahkan acara hujung tahun yang berlangsung selama empat hari berkenaan dan dianjurkan oleh Battle Pro Marketing and Management Services (BattleProMMS).

Hari terakhir telah menyaksikan majlis cabutan bertuah utama di mana Dayang Mahirah Rusydinah binti Madani diumumkan sebagai pemenang hadiah utama iPhone 7 tajaan Battle Pro MMS.

Penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pengasas Battle Pro MMS, Haji Syed Mohd Yassin bin Haji Syed Anayatullah Shah.

Di samping itu, majlis turut menyaksikan penyampaian hadiah bagi beberapa aktiviti lain yang diadakan sepanjang karnival yang telah disampaikan oleh Pengurus Projek Kecil, Awang Mohd Syukri bin Jamil.

Haji Syed Mohd Yassin menyampaikan hadiah kepada Dayang Mahirah Rusydinah.
Haji Syed Mohd Yassin menyampaikan hadiah kepada Dayang Mahirah Rusydinah.

Aktiviti-aktiviti berkenaan termasuk ‘What’s That Smell’ yang dimenangi Awang Mohd Zainol Ariffin, ‘What’s in the Box?’ dimenangi Dayang Syazwani Salazmi dan peraduan mewarna yang dimenangi oleh Rachel Shim.

Pada hari terakhir, cabutan bertuah harian ’1 iPhone percuma setiap hari’ dimenangi oleh Dayang Khairah Naaibah binti Abu Bakar.

Menurut kenyataan itu, antara program yang diadakan sepanjang karnival adalah Projek Beg Waqaf yang telah berjaya mengumpul sebanyak 250 buah beg iaitu projek bersama Battle Pro MMS dengan Sukarelawan Almas untuk anak yatim dan keluarga susah.

Selain itu, Projek Amal 1 Guntingan 1 Senyuman iaitu projek amal di mana setiap guntingan orang awam akan menyumbang satu guntingan percuma untuk anak yatim.

Program tersebut telah diungkayahkan bersama oleh Battle Pro MMS dan Jambang’s Barber Shop, telah berjaya mengumpul sebanyak 87 guntingan percuma untuk anak yatim.