Yinson beli syarikat pengendali kapal pengangkat

KUALA LUMPUR, 1 April – Yinson Eden Pte Ltd, anak syarikat milik penuh Yinson Holdings Bhd (Yinson), telah mengambil-alih syarikat pengendali kapal pengangkat berpangkalan di Singapura, Ezion Holdings Ltd (EHL) selepas mencapai persetujuan dengan pihak pemberi pinjaman EHL.

Yinson Eden membuat pengambil-alihan itu susulan perjanjian pertukaran hutang bersyarat serta perjanjian pilihan bersyarat dengan EHL.

Dalam satu kenyataan hari ini, Yinson berkata sebaik usaha pertukaran hutang itu selesai, YPL akan memegang kepentingan minimum 70 peratus dalam modal saham EHL yang dipertingkatkan.

“YEPL kini dalam proses berbincang dengan pihak pemberi pinjaman bagi mengambil alih sehingga AS$916 juta nilai pinjaman sedia ada menerusi pembayaran hutang.

Pemberi pinjaman itu akan dibayar tunai AS$200 juta serta saham EHL oleh YEPL,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Yinson, Lim Chern Yuan, berkata kapal pengangkat itu menjadi pilihan bagi tujuan kelangsungan pengeluaran minyak dan memberi nilai sinergistik kepada aktiviti utama merangkumi penyewaan, carter dan pengurusan kapal bagi kegunaan sektor industri minyak dan gas.

“Kapal jenis ini menjadi pilihan bagi tujuan pemasangan dan penyelenggaraan kemudahan angin luar pesisir. – Bernama