Yiwu tumpuan generasi muda bina kerjaya

ZHEJIANG, 20 MEI – Terletak di timur China, Yiwu dikenali sebagai hab memborong barang kegunaan harian termasyhur di dunia selain menjadi lokasi tumpuan generasi muda untuk membina kerjaya.

Menurut bancian kali ketujuh, jumlah penduduk bandar Yiwu mencecah 1.85 juta orang dan 30 peratus daripadanya menjalankan perniagaan sendiri.

Kadar itu turut mendahului bandar lain di seluruh China.

Yiwu menerima puluhan ribu individu yang datang menetap dan bekerja di bandar itu setiap tahun.

Peningkatan populasi yang konsisten turut memperlihatkan tarikan dan daya saing serta prospek pembangunannya mendapat pengiktirafan meluas.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Yiwu meningkat kepada RMB148.5 bilion) pada 2020 berbanding RMB61.4 bilion pada 2010.

Daripada struktur populasi pula, Yiwu disifatkan sebagai bandar ‘sangat muda’ memandangkan 75.88 peratus penduduknya terdiri dalam kalangan mereka yang berumur 15 hingga 59 tahun.

Ia berikutan kehadiran ramai generasi muda dan membina kerjaya di Yiwu. – Bernama