Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JUN – Kumpulan YMRM telah mengadakan Majlis Pelancaran Produk TechnoSport Apparel dari India, yang berlangsung di YMRM Gallery, Sengkurong, hari ini.
Hadir bagi melancarkan produk tersebut ialah Pesuruhjaya Tinggi India ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Alok Amitabh Dimri, sekali gus menandatangani plak perasmian yang disaksikan oleh pemilik YMRM, Ramesh Jiwatram Bhawani.
TYT Alok Amitabh Dimri dalam ucapannya mengongsikan bahawa dengan adanya produk busana sukan keluaran dari India berkenaan sememangnya sesuai untuk masyarakat di negara seperti golongan belia untuk memberi keselesaan kepada mereka dalam melakukan pelbagai aktiviti sukan sama ada indoor mahupun outdoor.
“Apa yang diharapkan dengan adanya pelancaran sedemikian, ia juga berfungsi sebagai pemangkin orang ramai di negara ini untuk sama-sama menjalani rutin kehidupan dengan gaya yang sihat,” tambah TYT Alok Amitabh Dimri.
Selain itu, YMRM juga berhasrat dengan pelancaran tersebut, mereka dapat menawarkan variasi produk busana sukan berkualiti yang bercirikan unisex dengan harga mampu milik kepada rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam.
