Yoga bantu bina kekuatan dalaman masa pandemik

INDIA/KUALA LUMPUR, 21 JUN – India membuka peluang kepada semua golongan dewasa mendapatkan vaksin secara percuma bagi meningkatkan tahap inokulasi negara itu hari ini, kata Perdana Menteri India ketika memulakan Hari Yoga Antarabangsa dengan memuji amalan itu dapat membantu ‘melindungi’ dalaman menentang virus.

Perdana Menteri Narendra Modi dalam ucapannya sempena hari yoga edisi ketujuh yang disambut hari ini berkata yoga telah menjadi sumber kekuatan dalaman dalam kalangan masyarakat ketika penularan pandemik COVID-19 dan menyuntik keyakinan bahawa mereka dapat melawan virus tersebut.

“Yoga tidak hanya memfokuskan pada kesihatan fizikal tetapi juga kesihatan mental. Semasa COVID, beberapa kajian dilakukan, meneliti manfaat yoga pada imuniti dan tubuh badan kita,” kata Modi, yang juga pengamal tegar yoga.

Sependapat dengan apa yang dikatakan Modi, jurulatih Yoga Malaysia SK Durai berkata virus COVID-19 menjejaskan paru-paru, latihan pernafasan dapat menguatkan paru-paru, selain meningkatkan fungsi organ pernafasan.

“Beberapa latihan pernafasan dapat membantu menghindari paru-paru mudah dijangkiti penyakit.

Pengamal melakukan yoga semasa acara meraikan Hari Yoga Antarabangsa di Red Fort di New Delhi pada 21 Jun. – AFP

“Dalam konteks amalan yoga, prinsipnya adalah bersederhana. Haba memusnahkan penyakit, sejuk mengundang penyakit. Pergerakan adalah kesihatan, tidak bergerak mengundang penyakit.

“Oleh itu, melalui pelbagai latihan pernafasan, ia akan memanaskan paru-paru dan mungkin membantu melawan COVID-19,” kata Durai yang juga Pengarah Sekolah Sakthi Yoga kepada Bernama melalui WhatsApp.

Mengulas lanjut, pengamal yoga berusia 36 tahun itu berkata, COVID-19 adalah penyakit pernafasan terutama menyerang paru-paru menyebabkan sukar bernafas dan mengganggu keupayaan tubuh badan.

Beliau juga mengesyorkan semua lapisan masyarakat mengamalkan yoga pada masa yang sukar ini kerana ia membantu menyegarkan organ dalaman dan merangsang fikiran.

Menurutnya prinsip yoga turut dapat mendidik seorang anak-anak untuk bersikap baik, berdisiplin, bersederhana dan jujur.

“Bukankah kita ingin setiap anak-anak memiliki semua kualiti ini? Menerusi latihan yoga, bukan sahaja membantu menyihatkan tubuh badan malahan membantu melahirkan anak-anak yang mempunyai bakat luar biasa,” tambahnya. – AFP/Bernama