Yoon, Biden dijadual lawat pusat operasi tentera udara

SEOUL, 22 MEI – Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol dan rakan sejawatannya dari Amerika Syarikat (AS) Joe Biden dijadualkan melawat pusat operasi Tentera Udara pada Ahad, aturcara terakhir  kunjungan tiga hari Biden ke Korea Selatan, lapor agensi berita Yonhap.

Kedua-dua pemimpin akan ke Pusat Operasi Udara dan Angkasa Korea Selatan itu di Pangkalan Udara Osan di Pyeongtaek, terletak 70 kilometer ke selatan Seoul, untuk mendengar taklimat dan memberi sokongan kepada tentera AS dan Korea Selatan yang ditempatkan di situ.

Lawatan itu dijangka memberi tumpuan terhadap kesediaan kedua-dua sekutu itu berdepan ancaman nuklear dan peluru berpandu Korea Utara selepas Yoon dan Biden bersetuju memperluaskan skop latihan ketenteraan bersama.

Biden menjadi presiden AS pertama untuk melawat pusat itu, yang terletak di bawah paras mukabumi dan berfungsi sebagai kubu utama operasi udara dan angkasa lepas, manakala Yoon menjadi presiden Korea Selatan pertama yang berbuat demikian dalam tempoh 13 tahun.

Sebelum itu, Biden dijadualkan bertemu dengan Pengerusi Kumpulan Hyundai Motor. – Bernama

Joe Biden dan Yoon Suk Yeol semasa menghadiri sidang media di Seoul, Korea Selatan pada 21 Mei 2022. – AP