Younes, Siaw Khim ungguli larian Hari Kanser Sedunia

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 FEB – Younes Ammouta muncul sebagai juara kategori lelaki dan Siaw Khim Tho pula muncul juara kategori wanita bagi Pertandingan Larian Sejauh 11 Kilometer semasa Acara Berjalan, Berlari dan Berbasikal sempena Hari Kanser Sedunia 2020 yang bermula dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan, hari ini.

Younes Ammouta muncul juara dengan mencatatkan masa 37 minit 13 saat diikuti oleh Awang Mohd Samsul bin Zamri yang mencatatkan masa 39 minit 59 saat di tempat kedua dan Awang Mohd Haziq Syazwan bin Harmanti di tempat ketiga mencatatkan masa 40 minit.

Hadiah para pemenang bagi kategori lelaki disampaikan oleh Pengarah Eksekutif, Pusat Pakar Pantai Jerudong (PJSC), Dr Awang Mazrul Adimin bin Haji Awang Besar.

Bagi kategori wanita, Siaw Khim Tho mencatatkan masa 48 minit 01 saat diikuti Lauren Woodwiss dengan masa 48 minit 47 saat dan tempat ketiga dimenangi oleh Vanessa On yang mencatatkan masa 48 minit 50 saat.

Juara kedua-dua kategori membawa pulang hadiah wang tunai $300, di tempat kedua menerima $200 dan pemenang ketiga $100.

Hadiah para pemenang bagi kategori wanita disampaikan oleh Pentadbir Hospital PJSC, Vivian Tie Suk Kee.

Acara berkenaan dianjurkan bersama oleh PJSC dan Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan.

Dr Awang Mazrul Adimin dan Vivian Tie bergambar ramai dengan para pemenang kategori lelaki dan wanita acara larian berkenaan.