YouTube uji pesaing TikTok di India

SAN FRANCISCO, 15 SEPT – YouTube mula menguji pesaing TikTok di India semalam, dengan memaklumkan ia akan memperbaiki format video pendek dan melancarkannya di lebih banyak negara dalam beberapa bulan mendatang.

YouTube Shorts melakukan debut ketika TikTok menjalinkan kerjasama dengan Oracle yang diharap dapat mengelakkannya daripada ditutup di Amerika Syarikat (AS) oleh Presiden Donald Trump.

Setiausaha Perbendaharaan, Steven Mnuchin, semalam mengesahkan bidaan daripada Oracle terhadap operasi TikTok di AS selepas pemilik aplikasi itu, ByteDance, menolak cadangan daripada Microsoft.

Namun, masih belum jelas sama ada kerjasama itu akan diterima oleh pihak berkuasa Washington.

“Shorts menawarkan pengalaman video pendek yang baharu untuk pencipta dan artis yang ingin merakam video pendek serta menarik dengan hanya menggunakan telefon bimbit mereka.

“Dalam masa beberapa hari lagi di India, kami akan melancarkan beta awal Shorts dengan sejumlah peralatan ciptaan baharu untuk mengujinya,” kata Naib Presiden Pengurusan Produk YouTube, Chris Jaffe, dalam satu blog. – AFP