Yuran lesen tahunan CMSL ditiadakan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 APRIL – Kementerian Pengangkutan dan Infoko-munikasi sukacita memaklumkan bahawa kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan bagi bayaran Cellular Mobile Subscriber Licence (CMSL), iaitu yuran lesen tahunan sebanyak $25 yang dikenakan kepada setiap pengguna perkhidmatan telefon selular di Brunei Darussalam ditiadakan bermula 24 Januari 2020.

Peniadaan lesen tahunan ini adalah satu langkah positif yang diusahakan bersama oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dan Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi (AITI) selaras dengan penyusunan semula struktur industri telekomunikasi di negara ini seperti yang telah dilaksanakan pada 24 Januari lalu.

“Langkah ini adalah satu usaha dalam pembaharuan dasar ke arah menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara pintar. Langkah ini juga adalah bagi menjadikan perkhidmatan-perkhidmatan telekomunikasi lebih mudah dan mampu untuk dimiliki oleh orang ramai dan semua lapisan masyarakat.

“Ia juga diharap dapat meningkatkan tahap kesediaan masyarakat untuk menggunapakai teknologi dan perkhidmatan digital yang baharu,” jelas Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof pada Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, pada hari ini, bertempat di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.

Sehubungan dengan itu, Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Info-komunikasi menjelaskan bahawa para pengguna yang telah dikenakan bayaran yuran lesen pada dan selepas 24 Januari lepas akan menerima bayaran semula (refund) lesen berkenaan.

“Pembayaran semula ini akan melibatkan pelanggan-pelanggan pascabayar dan prabayar.

Proses pembayaran semula akan bermula sebaik sahaja syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan melengkapkan urusan pentadbiran masing-masing,” jelasnya lagi.

Bagi maklumat lanjut berkaitan peniadaan CMSL dan proses pembayaran semula ini, orang ramai bolehlah melayari laman web AITI di www.aiti.gov.bn atau menghubungi penyedia perkhidmatan masing-masing melalui talian perkhidmatan pelanggan dan laman-laman web syarikat-syarikat berkenaan.

Yuran lesen tahunan sebanyak $25 yang dikenakan kepada setiap pengguna perkhidmatan telefon selular di Brunei Darussalam untuk ditiadakan bermula pada 24 Januari.