Friday, October 11, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Yuran permohonan perlindungan IP Singapura diturunkan

    SINGAPURA, 1 Feb – Sektor perniagaan dan usahawan akan dapat menjimatkan kos apabila mereka memfailkan paten dan perlindungan cap dagang dengan Pejabat Hak Milik Intelektual Singapura (IPOS) apabila yuran permohonan diturunkan berkuat kuasa 1 April 2017.

    Ini adalah sebahagian daripada usaha IPOS untuk menyokong pereka cipta dan menjadikan kadar perlindungan IP pada harga berpatutan selaras visinya untuk membantu memacu inovasi di Singapura.

    “Senario inovasi di Singapura kini lebih bertenaga, dengan lebih banyak syarikat dan syarikat tunas mahu mewujudkan nilai perniagaan melalui IP.

    Semakan semula bayaran menjadikannya lebih mudah dan lebih murah untuk mereka melindungi jenama dan teknologi masing-masing,” kata Ketua Eksekutif IPOS, Daren Tang menerusi satu kenyataan hari ini.

    “Kami berharap lebih banyak perusahaan kreatif dan pereka cipta memperoleh dorongan daripada perubahan ini untuk memiliki asas kukuh bagi mengetengahkan idea mereka kepada dunia,” katanya.

    IPOS menyemak semula kadar yuran secara berkala bagi memastikanya kompetitif dengan negara lain, selain menggalakkan inovasi dalam negara.

    Mulai 1 April, yuran akan dikurangkan antara 14 peratus dan 27 peratus bagi mereka yang memohon carian paten dan laporan pemeriksaan.

    Selain itu, pemilik jenama yang memohon untuk cap dagang menggunakan senarian barang dan perkhidmatan pralulus, akan menikmati 30 peratus diskaun.

    “Berdasarkan kedudukan ekonomi semasa yang tidak menentu selain unjuran politik, semakan semula yuran ini tepat pada masanya,” kata Peguam Paten Davies Collison Cave, Desmond Tan.

    Pelanggan yang mahu meningkatkan daya saing melalui IP dalam ekonomi inovasi dunia hari ini wajar mengetahui bahawa IPOS telah mengambil langkah untuk menangani kebimbangan mereka terhadap kos dan membantu mereka dalam persekitaran perniagaan yang mencabar ini.

    Untuk mengelak tindakan menyorok IP, yang boleh menyekat inovasi, bayaran yuran memperbaharui paten dan cap dagang dikenakan pelarasan menaik – 37 peratus bagi paten dan 52 peratus bagi cap dagangan, pertama dalam tempoh sedekad untuk cap dagang.

    Pada masa yang sama, pemilik paten yang sanggup menawarkan paten mereka untuk pelesenan, akan terus menikmati diskaun 50 peratus yuran pembaharuan paten.

    Ia akan menggalakkan pemilik IP untuk aktif menggunakan paten mereka, atau menimbang melepaskannya kepada domain awam untuk mendorong inovasi selanjutnya.

    Pemilik IP yang melepaskan paten mereka, akan menikmati pengecualian kos pentadbiran.

    Secara keseluruhan, pelarasan yuran itu akan menyebabkan pengurangan kos bersih bagi perniagaan dan pemilik jenama dalam melindungi kitaran pelbagai peringkat reka cipta atau cap dagang masing-masing. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda