Oleh Syahmi Hassan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 SEPT – Yusri bin Ramlee dari Pasukan Ghostbeys (GB) muncul juara dalam pertandingan Beyblade Master Battle setelah menewaskan Mainor Azizi bin Haji Maidin juga dari pasukan sama dalam perlawanan akhir, kelmarin.
Semasa pertandingan anjuran JakushaBladers Tour yang berlangsung di Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan), di ibu negara itu, tempat ketiga dimenangi oleh Abdul Malik Sofri bin Mohd Ariffindari Pasukan Jakusha Bladers (JB) setelah menewaskan Haji Rosaimi bin Haji Lamit dari GB.
Hadiah sagu hati pula masing-masing dimenangi oleh Yusri dari GB, Akmal dari Santai Aja Bladerz (SA) dan Haris dari JB.
Empat pasukan telah menyertai pertandingan itu iaitu Pasukan JB, Underground Beys (UG), GB dan SA di mana ia bertujuan untuk memberikan peluang kepada kanak-kanak dan ibu bapa membuat aktiviti sukan yang berfaedah di samping memperkembangkan permainan tersebut kepada masyarakat umum sekali gus mengeratkan silaturahim di antara pemain-pemain Beyblade.
Dalam perebutan Liga Beyblade Brunei Darussalam bagi tahun 2023/2024, Pasukan JB terus mengungguli carta dengan 64 mata diikuti Pasukan SA dan UG yang berkongsi 35 mata di samping Pasukan GB berjaya meraih 20 mata dan Beyblade Madness dengan enam mata.
