Zaha pilih Ivory Coast

ABIDJAN, 5 Jan – Pemain sayap Crystal Palace Wilfried Zaha (gambar) bakal membuat penampilan bersama Ivory Coast selepas namanya tersenarai dalam barisan akhir 23 pemain bagi menghadapi Piala Negara-Negara Afrika, semalam.

Pemain berusia 24 tahun itu antara bintang Liga Perdana Inggeris disenaraikan jurulatih Michel Dussuyer untuk kejohanan di Gabon bermula pada 14 Januari ini, dengan Ivory Coast adalah juara bertahan.

Dussuyer minggu lalu menamakan skuad awal 24 pemain dan pertahanan Ousmane Vieira, yang beraksi dalam saingan Liga Turki menjadi mangsa ‘korban’ pengendali dari Perancis itu.

Pengurus England Gareth Southgate sebelum ini pernah meminta Zaha, yang lahir di Abidjan tetapi pernah membuat dua penampilan bersama England, untuk kekal beraksi buat negara di mana dia dibesarkan itu.

Bagaimanapun, bekas pemain Manchester United itu mengabaikan permintaan itu dan kini bakal memainkan peranan besar di Gabon selepas berikrar beraksi buat Ivory Coast sejak September lalu.

Ivory Coast akan bertemu Sweden dalam aksi persahabatan pada Ahad ini dan Uganda tiga hari kemudian.

Pada Piala Negara-Negara Afrika, Ivory Coast membuka aksi melawan Togo pada 16 Januari diikuti Republik Congo dan Maghribi. – AFP