LONDON, 2 April – Pengurus Chelsea, Antonio Conte mengakui bahawa dengan kekalahan mengejut Chelsea 1-2 kepada Crystal Palace semalam, ia telah membuka kembali ruang kepada perebutan gelaran Liga Perdana musim ini.
Skuad kendalian Conte memulakan perlawanan dengan kelebihan 10 mata di puncak liga dan menang 13 perlawanan di Stamford Bridge.
Namun, gol menerusi Wilfried Zaha dan Christian Benteke telah mengejutkan Chelsea ketika pasukan di tangga kedua, Tottenham menang ke atas Burnley sekali gus menyaksikan kelebihan Chelsea kini hanya tinggal tujuh mata dengan baki sembilan perlawanan.
Bos The Blues, Conte akui perebutan gelaran masih terbuka dan pemainnya perlu segera bangkit ketika menanti kunjungan Manchester City, pada perlawanan pertengahan minggu ini.
“Di satu pihak, ia keputusan yang bagus. Ia menjadikan saingan semakin menarik iaitu kejuaraan,” kata Conte. “Namun saya selalu katakan, gelaran liga hanya akan berakhir apabila anda cukup yakin sudah menang secara matematik. “Jika tidak, kamu mesti beraksi setiap perlawanan dan cuba untuk menang. Saya ulangi, di England, tidak wujud istilah perlawanan mudah,” katanya.

Dalam perlawanan semalam, Cesc Fabregas meletakkan Chelsea di depan selepas lima minit perlawanan, tetapi Zaha menyamakan kedudukan empat minit kemudian.
Benteke kemudiannya memberikan Palace pendahuluan apabila menjaringkan gol kedua pasukannya pada minit ke-11 perlawanan.
Zaha, pemain sayap Ivory Coast mempamerkan permainan yang menakjubkan. Pengurus Palace, Sam Allardyce percaya pemainnya itu kini dalam proses mengeluarkan segala potensi miliknya di atas padang.
“Zaha merasakan dirinya cukup bagus. Ketika ini hanyalah tinggal mengenai persembahan konsisten sahaja,” katanya. – AFP