Zahid beri 92 cek berjumlah RM76.9 juta – firma guaman

KUALA LUMPUR, 12 OGOS – Sebuah firma guaman menerima 92 cek berjumlah RM76,967,355.41 daripada bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam tempoh dua tahun, bagi dana itu disimpan dalam akaun Yayasan Al-Falah untuk tujuan keagamaan dan kebajikan, Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.

B. Muralidharan, 62, rakan kongsi Messrs Lewis & Co mendedahkan kepada mahkamah bahawa semua cek itu kemudiannya disimpan dalam akaun pelanggan firmanya.

“Saya terima semua cek bukan pada waktu yang sama antara 20 Mei 2016 dan 9 April 2018 daripada Ahmad Zahid di rumahnya di Country Height, Kajang; pejabat Ahmad Zahid, dan firma kami di Bangsar.

“Cek-cek ini adalah bagi pembinaan masjid dan sekolah tahfiz di Bagan Datuk, Perak (kawasan Palimen Ahmad Zahid). Saya diberitahu sebaik sehaja cek itu diluluskan.. supaya duit itu dimasukkan dalam deposit tetap, supaya faedahnya diperoleh,” katanya.

Muralidharan berkata akaun deposit tetap diletakkan di bawah Yayasan Al-Falah, sebuah yayasan kebajikan yang dimiliki oleh keluarga Zahid, yang mana adiknya Datuk Seri Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi adalah pengerusi dan pemegang amanahnya.

Peguam cara itu berkata demikian semasa pemeriksaan oleh timbalan pendakwa raya Datuk Raja Rozela Raja Toran pada hari ke-33 perbicaraan Anggota Parlimen Bagan Datuk itu, yang menghadapi tuduhan pecah amanah, rasuah dan tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan dana milik Yayasan Akalbudi.

Berdasarkan kepada kenyataan saksi Muralidharan, pemilik cek berkenaan adalah daripada beberapa syarikat dan individu.

Ahmad Zahid, 67, berdepan 47 pertuduhan, dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi. Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – Bernama