Zahir rasa cinta, kasih sayang

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mac – Mantan warga Pusat Tingkatan Enam (PTE) Jalan Muara 1975 hingga 1978 juga tidak ketinggalan menunjukkan kasih sayang terhadap raja dengan melancarkan Pembacaan Al-Quran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-73.

Majlis anjuran PTE Jalan Muara itu telah diadakan di Masjid Ash-Shaliheen, Kompleks Jabatan Perdana Menteri, di sini, hari ini.

Antara yang menghadiri majlis tersebut ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku penasihat bersama dan juga mantan penuntut PTE Jalan Muara.

Majlis tersebut turut dihadiri seramai 90 orang mantan penuntut PTE Jalan Muara bersama keluarga masing-masing.

Program yang julung kalinya diungkayahkan oleh PTE Jalan Muara itu merupakan cetusan wacana kasih sayang kepada seorang raja, pemimpin tertinggi negara yang berjiwa rakyat.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi hadir selaku tetamu kehormat majlis.

Majlis telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Ash-Shaliheen, Awang Anuar bin Haji Salim.

Pengerusi bersama majlis, Haji Yakob bin Haji Yusof dalam ucapannya berkata bahawa majlis yang julung kali diadakan itu adalah bagi mencerminkan rasa cinta dan kasih sayang kepada kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, di mana warga PTE Jalan Muara sebagai sebahagian rakyat yang bernaung di bawah kepimpinan seorang raja yang sangat dikasihi oleh rakyat jelata.

Majlis pelancaran Pembacaan Al-Quran itu juga bertujuan untuk menzahirkan ketaatsetiaan warga PTE Jalan Muara yang tidak berbelah bahagi kehadapan majlis Baginda Sultan dan selaku rakyat yang bernaung di bawah falsafah negara Melayu Islam Beraja (MIB) serta untuk memanjatkan doa dan pahala bacaan ayat-ayat suci Al-Quran untuk Kebawah Duli Yang Maha Mulia serta kerabat Baginda, warga PTE Jalan Muara serta keluarga

Selain itu, ia juga bertujuan sebagai platform untuk warga PTE berjumpa, bertegur sapa, bermaaf-maafan, berinteraksi, berkomunikasi dan bersilaturahim bagi mempererat lagi jalinan persahabatan sesama mereka.

Bagi menandakan pelancaran majlis tersebut, bacaan Surah Al-Baqarah dari Ayat 1 hingga 25 secara beramai-ramai, dipimpin oleh Haji Zainal Ariffin bin Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Awang Sirat.