Zahirah tak takut ‘saham’ jatuh selepas kahwin

Seakan sudah menjadi lumrah dunia hiburan di Malaysia, populariti seseorang selebriti dikatakan akan merudum selepas mereka berkahwin.

Namun bagi pelakon Zahirah Mac Wilson, dia sedikit pun tidak berasa bimbang dengan tanggapan berkenaan kerana yakin bakat adalah penentu kepada kerjaya seseorang artis sepertinya.

Ujar Zahirah atau nama sebenarnya Nur Zahirah MacWilson, 25, setiap orang mempunyai pendapat tersendiri namun dia percaya semuanya bergantung pada rezeki.

“Sebenarnya saya tak kisah pun dengan pandangan orang yang mengatakan apabila seseorang selebriti itu sudah kahwin, ‘saham’ akan jatuh.

“Bagi saya, kita tak boleh halang apa yang orang nak kata sebab macam mana pun mereka tetap akan bercakap juga.

Zahirah MacWilson, 25, yang kini bergelar seorang isteri kepada pelakon Aiman Hakim Ridza berkata bahawa beliau tidak risau ‘saham’ jatuh selepas berkahwin kerana percaya kepada bakat beliau. – Agensi

“Tapi at the end of the day, semuanya berbalik kepada rezeki masing-masing.

“Sebab itu saya percaya kepada rezeki,” kata Zahirah kepada media.

Zahirah sah menjadi isteri kepada pelakon Aiman Hakim Ridza dengan sekali lafaz pada 20 Februari lalu di Foyer Glamhall Mercu Mustapha Kamal, Petaling Jaya.

Pasangan ini terlebih dahulu mengikat tali pertuna-ngan pada 8 Jun tahun lalu di kediaman keluarga aktres itu di Perth, Australia selepas enam bulan menjalinkan hubungan cinta.

Dalam pada itu, Zahirah meluahkan rasa syukur dan teruja apabila mendapat peluang buat pertama kali memegang watak utama dalam sebuah filem aksi, ‘Bulan & Pria Terhebat’.

Kata Zahirah, dia sanggup menjalani latihan fizikal selama dua bulan dan mempelajari bahasa Indonesia untuk menjayakan watak tersebut.

“Saya sangat bersyukur dan terbaru sebab sebelum saya ceburi bidang lakonan, saya memang simpan impian nak berlakon dalam filem aksi.

“Alhamdulilah, impian terbesar dalam hidup saya akhirnya sudah tercapai. Walaupun pada mulanya, saya ditawarkan untuk bawa watak sampingan dan saya okey saja.

“Tapi tiba-tiba dapat tawaran utama. Memang saya terus setuju dan anggap jalani latihan fizikal untuk dapatkan bentuk badan yang sesuai selama dua bulan.

“Saya juga belajar Bahasa Indonesia kerana watak Bulan bercakap menggunakan bahasa itu,” ujarnya.

Filem aksi arahan pengarah Ghaz Abu Bakar itu akan mula ditayangkan bermula 12 Mac ini. – Agensi