Zainal Abidin ingin pasukan pamer aksi terbaik

MELAKA, 10 NOV – Kejayaan Melaka United FC menewaskan Kedah Darul Aman (KDA) FC, 2-0 kelmarin disifatkan hadiah ulang tahun kelahiran bermakna bagi pengendalinya, Zainal Abidin Hassan yang mahu pemain mengekalkan momentum kemenangan dalam kempen Piala Malaysia 2021.

Selepas mengesahkan slot suku akhir penuh bergaya dengan mengekalkan rekod tanpa kalah dalam aksi terakhir Kumpulan C, Zainal Abidin menuntut anak buahnya mengelak daripada melakukan kesilapan mudah dan memanfaatkan sebaik-baiknya peluang di hadapan pintu gol untuk mara ke pe-ringkat lebih jauh dalam saingan piala berprestij itu.

“Alhamdulillah, terima kasih kepada semua pemain yang menghadiahkan kemenangan pada hari lahir saya hari ini (kelmarin).

Saya mahu mereka teruskan prestasi seperti ini kerana saya mahu bawa pasukan pergi lebih jauh dalam kempen Piala Malaysia.

“Mereka perlu belajar daripada kesilapan lepas dan mengatasinya selain bijak mengambil peluang yang terhidang di hadapan pintu gol,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan kelmarin.

Pada aksi di Stadium Hang Jebat itu, Melaka United berjaya membolosi gawang pasukan pelawat pada minit ke-24 menerusi pemain import dari Filipina, Manuel Ott, sebelum pemain import dari Brazil, Giovane Gomes melengkapkan kemenangan bergaya pasukan tuan rumah pada minit ke-89. – Bernama