Zainal Abidin terima pengiktirafan

Oleh Pg Fairol RMF

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Okt – Salah seorang ahli Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD), Awang Zainal Abidin bin Haji Ibrahim telah menerima Anugerah Pengerusi Serantau Asia Pasifik oleh Pertubuhan Pergerakan Pengakap Sedunia Pejabat Rantau Asia Pasifik, baru-baru ini.

Anugerah berkenaan adalah sebagai penghargaan dan pengiktirafan atas kepimpinan cemerlang dan sumbangan tanpa nilai kepada pembangunan pergerakan pengakap.

Anugerah tersebut disampaikan oleh perwakilan Jawatankuasa Pengakap Serantau semasa Persidangan Pengakap Rantau Asia-Pasifik ke-26 di Manila, Filipina pada 20 Oktober lalu.

Awang Zainal Abidin merupakan bekas pesuruhjaya latihan kebangsaan, setiausaha agung, pesuruhjaya antarabangsa dan ketua pesuruhjaya negara PPNBD sejak tahun 1981 hingga 2004.

Sepanjang perjalanan itu, beliau secara aktif menyertai Jambori APR sebagai ketua kontinjen di Malaysia, Taiwan dan Korea.

Pada peringkat wilayah, beliau juga dilantik sebagai naib pengerusi Pasukan Petugas Pelan Strategik pada 1995, ahli Pasukan Petugas APR bagi 2006-2007, naib pengerusi Jawatankuasa Pengakap APR dan pengerusi.

Pada peringkat dunia, Awang Zainal Abidin telah menghadiri Persidangan Pengakap Dunia di Norway (1999), Afrika Selatan (1999), Greece (2002) dan Tunisia (2005) malah menyertai Essex Jamboree di Essex pada 2007.

Beliau juga telah menyumbang dalam pembangunan kapasiti dan penyelenggaraan di Bangunan Ibu Pejabat NSO di mana beliau juga menghasilkan koleksi kenangan pengakap ke dalam buku yang kini boleh didapati di mana-mana kedai pengakap.

Zainal Abidin telah menerima Anugerah Pengerusi Serantau Asia Pasifik oleh Pertubuhan Pergerakan Pengakap Sedunia Pejabat Rantau Asia Pasifik di atas sumbangan beliau, baru-baru ini.