Thursday, April 25, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Zakaria perjuang nasib generasi kedua Felda

    ALOR GAJAH – Walaupun pendidikannya hanya setakat darjah enam, namun itu tidak menjadi penghalang buat Zakaria Salim, 65, memperjuangkan nasib generasi kedua Felda Menggong di sini untuk mendapatkan tapak rumah dan meningkatkan ekonomi penduduk.

    Mengimbau kembali perjuangannya lebih 30 tahun lepas, Zakaria, yang pulang ke kampung halamannya selepas lima tahun bekerja sebagai pengawal keselamatan di Felda Taib Andak, Kulai, Johor, ‘mencuri idea’ selepas melihat kejayaan Felda tersebut ketika menjadi ‘anak dagang’.

    “Di sana, saya melihat Felda itu mengusahakan tanaman sawit yang lebih memberi keuntungan berbanding getah serta mereka menubuhkan koperasi membekal bahan-bahan binaan.

    “Justeru, terdetik di hati saya untuk mengubah Felda Menggong menjadi sebuah kawasan lebih baik sekali gus membantu penduduk mendapat lebih pendapatan untuk menyara kehidupan,” katanya kepada Bernama di sini.

    Perkara pertama dilakukan Zakaria selepas menang jawatan Ketua Pemuda UMNO cawangan Felda Menggong ialah bertemu ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) Felda Menggong dan melahirkan hasrat untuk menanam kelapa sawit selepas pokok getah yang ditanam sebelum itu telah cukup umur.

    Suasana sekitar Felda Tun Ghafar Menggong yang terletak di dalam Parlimen Alor Gajah. Ismail Rahman (gambar sisipan) ketika ditemu bual mengenai perjuangan beliau membela nasib generasi kedua Felda Menggong untuk mendapatkan tapak rumah dan meningkatkan ekonomi penduduk. – Bernama

    Beliau berkata sembilan daripada 12 ahli JKKR menentang rancangannya, namun akhirnya cadangan itu disokong Pengurus Felda ketika itu, dan hasilnya lebih 80 peratus penduduk di Felda Menggong menikmati pendapatan lebih lumayan berbanding jika masih menanam getah yang harganya sekitar RM2.20 sekilogram di pasaran ketika ini.

    “Kemudian muncul pula idea untuk memberi taraf peneroka kepada generasi kedua Felda namun ia sukar dilaksanakan, sehinggalah ada cadangan daripada penduduk untuk mendapatkan 41 lot tanah bagi generasi kedua Felda.

    “Akhirnya perjuangan saya bersama beberapa rakan yang lain selama 14 tahun sejak 1990 membuahkan hasil selepas Felda bersetuju untuk menyediakan lot tanah menerusi tanah rizab Felda untuk dijadikan tapak rumah bagi generasi kedua ini,” katanya.

    Rakannya, Untong Dollah, 56, anak bongsu daripada 12 beradik berkata empat adik-beradik termasuk dirinya diberi peluang mendapatkan tapak rumah di tanah rancangan itu.

    Beliau berkata lapan beradiknya lain tidak mempunyai rasa iri hati kerana tidak mendapat tapak rumah di Felda berkenaan kerana mereka berhijrah mencari kehidupan di luar kawasan itu.

    “Kekuatan Felda Menggong memperjuangkan tapak rumah bagi generasi kedua adalah masyarakatnya yang bersatu padu dan mempunyai hubungan baik dengan pengurusan Felda serta kerajaan Persekutuan, selain ketika itu mempunyai ketua tegas dalam memperjuangkan isu berkenaan,” katanya.

    Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Felda Menggong Ismail Ab Rahman, 60, berkata pengurusan memperuntukkan sejumlah 16.18 hektar tanah kepada generasi ketiga Felda itu, membabitkan 300 peserta.

    Katanya peserta telah mendapat geran tanah selepas menjelaskan premium dan sedang menunggu kemudahan infrastruktur seperti pembinaan jalan untuk mendirikan kediaman masing-masing.

    Ketika ini, terdapat kira-kira 500 orang tinggal di Felda Menggong, yang terletak dalam Parlimen Alor Gajah, merangkumi lima kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Rembia, Gadek, Machap Jaya, Durian Tunggal dan Asahan.

    Parlimen Alor Gajah membabitkan keluasan 560km persegi mempunyai jumlah penduduk seramai 171,073 orang pada 2020, menurut Statistik Subnasional Parlimen dan DUN Jabatan Perangkaan Malaysia.

    Parlimen tersebut memiliki sebuah balai bomba, sebuah hospital, sembilan klinik kesihatan, 15 klinik desa dan empat klinik komuniti, 54 sekolah kebangsaan dan 13 sekolah menengah kebangsaan selain stesen minyak (15), tadika swasta (24), kedai dobi (6), kedai runcit (153), bengkel kereta (86) dan klinik gigi swasta (tiga).

    Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini, Parlimen Alor Gajah menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan Shahril Sufian Hamdan (BN-UMNO), Adly Zahari (PH-Amanah), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof (PN-Bersatu) dan Muhammad Nazriq Abdul Rahman (Pejuang-Berjasa). – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...