Friday, April 26, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Zakat fitrah: Bagaimana jika seseorang itu berada di luar negeri

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Menurut ulama, zakat fitrah wajib dikeluarkan di tempat zakat itu diwajibkan. Sebagai contoh, jika ia berada di Negara Brunei Darussalam, maka wajib zakat itu ditunaikan di Negara Brunei Darussalam juga.

    Persoalannya, bagaimana pula bagi orang-orang Brunei yang bertugas atau belajar di luar negara? Di manakah sepatutnya zakat fitrah itu dikeluarkan, sama ada di negeri tempat mereka berada ataupun di tanah air mereka, kerana terdapat antara orang yang berada di luar negeri itu, zakat fitrahnya dibayarkan oleh ahli keluarga mereka di tanah air mereka.

    Maka akan dihuraikan perkara yang berkaitan dengan zakat fitrah ini bagi orang yang berada di luar negeri.

    Zakat fitrah bagi orang yang berada di luar negeri, sama ada bertugas ataupun belajar, hendaklah dikeluarkan sendiri di mana dia berada, kerana mereka itu mampu menanggung dirinya sendiri melalui gaji atau elaun yang mereka terima dari kerajaan atau lain-lain agensi yang menaja biasiswanya.

    Ini kerana, zakat fitrah itu tidak diharuskan untuk dipindahkan ke tempat lain melainkan dengan syarat-syarat tertentu, maka apabila zakat fitrah itu dikeluarkan oleh ahli keluarga mereka yang berada di tanah air, bererti mereka dikira memindah zakat fitrah mereka itu ke tempat lain.

    Memindah zakat ke tempat lain itu bermaksud memberi zakat kepada orang (ashnaf) yang tidak berada di tempat zakat ketika zakat wajib dikeluarkan, sama ada dia (penerima) dari kalangan penduduk tempat zakat (yang dikeluarkan) itu atau bukan dari kalangan mereka, dan sama ada pembayar zakat mengeluarkannya (memindahkannya) dari tempat (zakat wajib dikeluarkan) atau penerima-penerima zakat (dari luar negara) datang ke tempat zakat setelah masuknya waktu wajib mengeluarkannya.

    Zakat fitrah wajib dikeluarkan dan diagihkan kepada ashnaf yang berhak menerimanya di tempat zakat itu diwajibkan. Oleh itu, menurut pendapat mazhab asy-Syafi‘i adalah ditegah memindahkan zakat ke tempat lain dari tempat di mana zakat itu wajib dikeluarkan sebagaimana disebutkan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullahu Ta‘ala:

    “Dan menurut pendapat al-Azhhar ditegah memindah zakat.”

    Tegahan memindah zakat ke tempat lain itu adalah berdasarkan sebuah hadis sebagaimana sabda Rasulullah kepada Mu‘adz bin Jabal r.a. (ketika dia hendak diutus sebagai gebenor di negeri Yaman) yang maksudnya:

    “Maka apabila mereka (penduduk Yaman) telah patuh dalam hal yang demikian (tentang kewajipan menunaikan sembahyang lima waktu), maka engkau beritakanlah pula kepada mereka bahawa Allah telah mewajibkan ke atas mereka sedekah (zakat) di dalam harta-harta mereka yang diambil daripada orang-orang kaya dari kalangan mereka dan diagihkan zakat itu juga kepada orang-orang fakir dari kalangan mereka.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

    Perkataan “orang-orang fakir” sebagaimana disebut di dalam hadis tersebut adalah merujuk kepada orang-orang fakir yang berada di tempat zakat wajib dikeluarkan.

    Zakat fitrah wajib dikeluarkan dan diagihkan kepada ashnaf yang berhak menerimanya di tempat zakat itu diwajibkan.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Menteri India pengsan semasa berkempen kerana cuaca panas

    NEW DELHI, 25 APRIL - Seorang menteri India telah pengsan semasa berucap pada perhimpunan pilihan raya kerana cuaca panas ketika biro cuaca negara itu...