Zalif Sidek diserang asma

Akibat tidak menjaga pemakanan dengan betul, pelakon Zalif Sidek diserang asma yang agak teruk apabila dia mengalami sesak nafas baru-baru ini.

Zalif atau nama sebenarnya Md Zalif Naquiyudin Wan Abu, 35, berkata, dia kemudian menguatkan diri untuk pergi ke klinik bagi mendapatkan bantuan.

“Hari itu sewaktu bangun tidur saya dah mula rasa lain macam. Saya dah mula sesak nafas dan selesema.

“Saya pun tak boleh bercakap langsung. Pada mulanya memang tak larat nak bangun, tapi saya kuatkan juga badan dan terus pergi ke klinik untuk dapatkan ubat.

“Ini asma yang paling teruk saya alami pada tahun ni,” katanya kepada mStar.

Zalif berkata, tidak menjaga pemakanan dan kerap minum minuman berais membuatkan dia lebih mudah terkena penyakit itu.

Selain itu, pelakon filem Bini Biniku Gangster ini juga tidak menolak faktor terdedah dengan habuk berikutan baru berpindah rumah menjadi punca dia diserang asma.

“Ceritanya, Ahad lalu saya pindah rumah. Jadi saya memang sibuk berkemas dan memang terdedah dengan habuk yang banyak. Saya pula memang sensitif dengan habuk.

“Sebenarnya sejak raya pertama sampai sekarang saya memang tak jaga makan. Macam-macam saya makan. Saya pun asyik minum minuman berais saja,” ujarnya. – Agensi

Tidak menjaga pemakanan dan kerap minum minuman berais antara punca Zalif mudah diserang asma. – Agensi