Thursday, April 25, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Zamani akui rasa takut jalani pembedahan skoliosis

    Penyanyi legenda, Zamani, 51, akan menjalani pembedahan membetulkan tulang belakang melengkung akibat penyakit skoliosis, awal November depan.

    Vokalis kumpulan Slam yang menderita penyakit skoliosis sejak 2015 itu bersyukur, pihak hospital memberi jaminan terdapat peluang untuknya kembali sembuh selepas pembedahan.

    “Tulang belakang sudah mencucuk tulang rusuk dan menghimpit jantung. Jadi, saya perlu melakukan pembedahan segera.

    “Dahulu, saya agak takut apabila dimaklumkan tiada peluang untuk sembuh. Namun, yang diterima tidak tepat.

    “Selepas melakukan ujian imbasan, doktor mengesahkan mempunyai harapan tinggi untuk sembuh. Namun, tidaklah boleh kembali kepada normal,” katanya kepada wartawan.

    Zamani akan menjalani pembedahan membetulkan tulang belakang melengkung akibat penyakit skoliosis November depan. – Agensi

    Penyanyi lagu Gerimis Mengundang dan Tak Mungkin Berpaling itu berkata, dia memiliki dua pilihan pusat perubatan untuk melakukan pembedahan.

    “Doktor memberitahu saya sudah boleh menjalani pembedahan pada Oktober ini. Cuma, saya terikat dengan beberapa komitmen kerja perlu diselesaikan terlebih dahulu.

    “Jadi, insya-Allah mungkin awal November. Dari segi kos pembedahan dianggarkan melebihi RM100,000,” katanya yang ditemui pada sidang media.

    Zamani berkata, buat masa ini dia perlu memakan ubat tahan sakit sementara menunggu pembedahan.

    Namun, Zamani tidak menafikan perasaan takut menjalani pembedahan menghantui diri dan pembedahan dijangka mengambil masa lapan hingga 10 jam.

    “Saya bukan sahaja gusar dan berdebar. Jika diberi pilihan, saya tidak mahu menjalani pembedahan dan cuba cari jalan lain, tetapi ini adalah pilihan terakhir.

    “Kalau semuanya baik, mungkin selepas dua minggu akan semakin pulih. Jika tidak, ia mengambil masa sebulan.

    “Selain itu, saya juga perlu menjalani fisioterapi. Saya berharap pembedahan berjalan lancar dan mendapat kesembuhan walaupun saya tahu tidak mungkin sembuh 100 peratus,” katanya.

    Katanya, dia juga akan terbabit dengan Konsert Doa Buat Zamani di Zepp KL sebelum menjalani pembedahan.

    “Konsert ini bertujuan menemukan saya dengan peminat. Kita doakan baik-baik kerana saya juga tidak tahu apa yang akan berlaku.” – Agensi

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...