Zaniolo menyinar bantu Roma

ROM, 13 Feb – Pemain muda sensasi Nicolo Zaniolo meledak dua gol ketika membantu Roma mengatasi Porto 2-1 dalam aksi pertama 16 terakhir Liga Juara-Juara di Stadio Olimpico, pagi tadi.

Penyerang berusia 19 tahun itu meraih gol pembukaan pada minit ke-70, dan menambah jaringan keduanya enam minit kemudian untuk menghadiahkan Porto kekalahan pertama dalam kempen teratas Eropah itu.

Namun, Adrian Lopez meraih gol penting buat pasukan dari Portugal itu selepas 79 minit permainan bagi memastikan mereka masih kekal dalam pemburuan menjelang aksi timbal balik pada 6 Mac ini.

“Ia adalah malam yang menakjubkan, saya kehilangan kata-kata dan tidak pernah menjangkakan situasi seperti ini,” kata Zaniolo kepada Sky Sport Italia.

“Tetapi kami masih perlu berdepan aksi kedua dan kami tidak sepatutnya membenarkan gawang kami dibolosi gol.”

Reaksi Zaniolo (kanan) selepas menjaringkan gol pertama buat AS Roma ketika menentang Porto di Stadium Olympic, Rom. – AFP

Malam tadi menjadi milik pemain muda dari Itali itu yang mendapat tempat di hati penyokong sejak tiba dari Inter Milan, di mana dia tidak pernah langsung bermain dalam aksi kompetitif.

Dia juga diberikan penghormatan besar apabila menerima tepukan gemuruh daripada penyokong yang melihatnya sebagai pengganti kepada legenda Roma, Francesco Totti.

Perlawanan hanya rancak pada pertengahan separuh masa kedua selepas Zaniola membuat tendangan kaki kanan menembusi gawang lawan hasil hantaran Edin Dzeko.

Dia kemudian menggandakan jaringan apabila tendangan Dzeko terkena gawang lalu terpantul ke arahnya sebelum dia dengan tenang membuat penyudah.

“Meraikan jaringan melompati penghalang padang adalah perasaan menakjubkan. Saya tidak dapat mengucapkan dengan kata-kata. Saya berharap dapat menjaringkan lebih banyak,” kata Zaniola.

“Zaniola bukanlah sesuatu yang mengejutkan saya lagi,” kata kapten pasukan Roma, Daniele De Rossi.

“Kekuatan fizikal sangat menakjubkan bagi usianya dan dia menggabungkannya dengan teknik menakjubkan. Dia sudah menjadi pemain bagus, dan dia akan menjadi juara yang bagus.” – AFP