Zara sudah ada kekasih hati

Jauh di sudut hati, pelakon, Zara Zya, 35, mengharapkan hubungan cinta bersama jejaka yang masih dirahsiakan identiti menemui penamat baik.

“Soal siapa gerangan si dia, biarlah masa menentukan. Sekarang, kami dalam fasa mengenal hati budi. Saya fikir buat masa sekarang, cukup saya berkongsi bahawa diri ini sudah ada kekasih hati.

“Pada peringkat awal ini, cukuplah orang tahu sedikit perihal hati ini. Selebihnya, biar saya dan si dia simpan,” katanya kepada media.

Sebelum ini, Zara pernah menafikan kekasihnya bertugas dengan pasukan badan beruniform seperti gosip tersebar. Biarpun baru lima bulan cinta bersemi, Zara berkata, dia dan kekasihnya bagaikan sudah lama saling mengenali.

“Pada usia sekarang, pastinya saya mahu ada insan yang menjaga dan melindungi diri. Saya bukan makin muda. Saya tiada masa untuk berkenalan dengan orang lain dalam tempoh lama.

Zara Zya mengakui sudah lima bulan bercinta. – Agensi

“Pastinya jauh di sudut hati, saya harap hubungan kali ini menjadi. Semoga dipermudahkan dan menemui penghujung yang baik,” katanya.

Zara atau nama penuhnya, Zainurul Razia Mohd Zainuddin mengatakan, si dia menjadi pendorong utama buat pelakon ini untuk berjinak-jinak dalam dunia perniagaan melalui galakan dan inspirasi yang dikongsi jejaka terbabit.

Malah, Restoran Zara Zya Cooks yang beroperasi di Shah Alam, Selangor, sejak awal bulan lalu, khabarnya diusahakan bersama si dia sebagai rakan kongsi.

“Percaturan saya membuka restoran ini membuahkan hasil. Lokasinya strategik dan penggunaan nama sendiri memberi impak kepada restoran ini terus dikenali.

“Saya harap tuah berpanjangan. Saya tambah bersemangat dengan sokongan dan galakan daripadanya. Si dia banyak membantu dan berkongsi idea berbekalkan pengalaman sebagai usahawan,” ujarnya. – Agensi