Pelakon Zarina Zainuddin tidak mampu menahan kerinduan kerana terpaksa berpisah dengan anak bongsunya iaitu Muhammad Adam Azrai yang kini melanjutkan pengajian di UiTM Tapah, Perak.
Zarina atau Nur Zarina Mohd Zainuddin, 54, berkata ketiadaan Adam cukup dirasai terutamanya setiap kali waktu menikmati makan malam bersama keluarga.
“Adam tak ada malam ini terasa sangat, selalu dia yang akan turun bawah tanya ibu masak apa untuk dinner.
“Ibu malam ni nak makan apa? Ibu boleh masak ini tak? Ibu dah rindu,” katanya menerusi hantaran di Instagram.
Berserta kapsyen tersebut, Zarina memuat naik video dia memasak beberapa hidangan.
Menurut mStar, pelakon itu turut meluahkan kebimbangan melihat Adam tidak sempat menjamah makanan dek kesibukan jadual sebagai pelajar.
Malah, Zarina berkata jika diikutkan rasa hati dia sanggup memandu beratus kilometer ke kampus anaknya semata-mata untuk menghantar makanan.
“Dia cakap dia punya sibuk sampai ke petang kat kampus, dia bagi tahu tak sempat makan.
“Kalau boleh saya nak memandu hantar makanan kepada dia di Perak. Risau saya anak bila anak jauh-jauh macam ini,” jelasnya. – Agensi