Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 22 Sept – Untuk membangunkan lagi penglibatan dalam industri minyak dan gas, Syarikat Zentech Sdn Bhd telah menyertai beberapa buah syarikat dari Negara Brunei Darussalam pada Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) ke-14, Tahun 2017 di Nanning, China, baru-baru ini.
Pengarah Urusan Syarikat Zentech Sdn Bhd, Haji Mohamed Nizar bin Haji Hassan berkata, beliau berasa beruntung kerana terlibat sebagai peserta CAEXPO serta melahirkan rasa penghargaan kepada jawatankuasa berkenaan, terutamanya Jabatan Tenaga dan Industri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Darussalam Enterprise (DARe) dan juga jawatankuasa penganjur yang telah menyediakan peluang tersebut.
Bercakap kepada Media Permata di sini hari ini, beliau juga menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas berkenan menandatangani plak yang direka khas syarikat mereka semasa berangkat melawat ke Pavilion Komoditi Negara Brunei Darussalam di CAEXPO.
Ditanya mengenai pengalaman beliau dan tiga orang wakil Zentech Sdn Bhd semasa di Nanning, beliau menjelaskan bahawa mereka berpeluang bertemu dan berbincang dengan pelbagai pelanggan dan usahawan termasuk peserta-peserta dari negara-negara ASEAN yang mengunjungi Pavilion Komoditi Brunei dan pameran syarikat mereka.
“Maklum balas yang dikumpulkan semasa CAEXPO adalah sangat positif dan pasti akan memberi manfaat kepada usaha syarikat dalam mempromosikan ekonomi negara dengan mewujudkan asas rangkaian untuk usaha perniagaan masa depan,” katanya.

Sementara itu, Pengasas dan Penasihat Korporat Zentech Sdn Bhd, Awang Mohamad Zen bin Omar pula mengongsikan pandangan yang sama sambil berkata “OEM Antarabangsa dalam industri minyak dan gas begitu berminat untuk berurusan dengan Zentech sebagai rakan perniagaan di Brunei.
Syarikat Zentech Sdn Bhd mempunyai permulaan yang rendah pada tahun 2013 dan sejak itu telah berkembang untuk menampung pelbagai perkhidmatan dalam industri minyak dan gas seperti menyediakan perkhidmatan pemeriksaan, perkhidmatan telaga, perkhidmatan saliran paip, perkhidmatan perdagangan dan sebagainya.
Mereka juga bercadang untuk menyertai lagi pameran yang akan datang bagi mendedahkan pelbagai perkhidmatan yang dapat diberikan oleh syarikat dalam usahanya mempromosikan lagi ekonomi Brunei dalam sektor minyak dan gas.