Ziarah Aidilfitri punca kluster Pangsapuri Cheras?

PUTRAJAYA, 2 JUN – Punca penularan kluster baharu COVID-19, kluster Pangsapuri Cheras berkemungkinan besar berkaitan dengan aktiviti kunjung mengunjungi sebelum dan semasa Aidilfitri.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah (gambar) berkata punca sebenar penularan kluster itu masih disiasat.

Memperincikan kluster itu, beliau menjelaskan kes pertama kluster itu dikesan hasil saringan pelajar pusat tahfiz yang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Bagaimanapun melalui penyiasatan yang dijalankan, tiada pelajar, guru atau kakitangan dari pusat tahfiz tersebut mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan (tabligh) di Seri Petaling.

“Sehingga kini terdapat enam kes bagi kluster ini iaitu tiga kes merupakan penghuni pangsapuri tersebut dan tiga di luar kawasan pangsapuri,” katanya dalam sidang media harian perkembangan COVID-19 di sini, hari ini.

Semalam, KKM menerusi Twitter memaklumkan penemuan kluster baharu itu. Dr Noor Hisham berkata semua pesakit itu dikesan melalui tindakan pengesanan kes secara aktif  dan semua kes positif kluster itu merupakan ahli keluarga dan rakan kepada kes pertama yang dikesan.

“Setakat ini, seramai 120 orang telah dikenal pasti dan disaring, dengan enam kes positif COVID-19, 76 kes negatif COVID-19; dan 38 masih menunggu keputusan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata selain tindakan pengesanan kes secara aktif, beberapa langkah kawalan penularan wabak di pangsapuri itu turut giat dijalankan seperti pengasingan kontak dan aktiviti pensampelan, aktiviti nyahkuman dan nyahcemar serta hebahan pendidikan kesihatan berkaitan pencegahan jangkitan COVID-19. – Bernama