Ziarah Aidilfitri tidak lebih 7 hari

PUTRAJAYA, 4 MEI – Aktiviti ziarah sempena Hari Raya Aidilfitri yang dijangka disambut 13 Mei ini, hanya dibenarkan pada hari raya pertama sahaja bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata jumlah kehadiran tetamu adalah tidak melebihi 15 orang pada satu-satu masa, mengikut saiz rumah dengan penjarakan fizikal.

Bagi kawasan PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) pula, beliau berkata aktiviti ziarah dibenarkan dari 1 hingga 3 Syawal.

“Bagi kawasan PKPB, kehadiran tetamu terhad kepada 20 orang pada satu-satu masa mengikut saiz rumah dengan penjarakan fizikal manakala kawasan PKPP, ziarah dibenarkan dengan kehadiran tetamu tidak melebihi 25 orang pada satu-satu masa,” katanya pada sidang media perkembangan PKP di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata mereka yang tinggal di kawasan PKP Diperketatkan (PKPD) tidak dibenarkan menerima kunjungan tetamu luar dan hanya terhad kepada keluarga di dalam rumah sahaja.

Sementara itu di Sarawak, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak hari ini memutuskan untuk membenarkan sambutan Aidilfitri selama tujuh hari di negeri itu bermula 1 hingga 7 Syawal dengan kehadiran dihadkan untuk ahli keluarga terdekat sahaja.

JPBN menerusi kenyataan hari ini memaklumkan garis panduan atau prosedur operasi standard (SOP) sambutan Hari Raya secara terperinci boleh didapati di laman rasmi Majlis Islam Sarawak http://www.mis.sarawak.gov.my.

Antara yang dibenarkan adalah solat sunat Aidilfitri di semua masjid, surau, musolla dan premis yang mendapat kebenaran Majlis Islam Sarawak sahaja dan bilangan jemaah dibolehkan adalah berdasarkan had kapasiti ruang keluasan masjid atau surau dengan penjarakan fizikal satu meter. Selain itu, ziarah Hari Raya pula dibenarkan di zon Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan keluarga terdekat sahaja dengan had pengunjung 50 peratus kapasiti mengikut saiz rumah dengan penjarakan fizikal.

Bagi mengekang penularan wabak COVID-19 di beberapa kawasan di Sarawak, sembilan lokaliti telah dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari iaitu di Rumah (Rh) Tiut anak Usit, Sungai Setulan, Jalan Pesisir Kuala Tatau, Tatau bermula 28 April hingga 11 Mei. – Bernama

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap pada sidang media mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Pejabat Perdana Menteri, kelmarin. – Bernama