Zidane: Bale tidak mahu beraksi menentang City

MADRID, 7 OGOS – Zinedine Zidane berkata bahawa Gareth Bale memberitahu bahawa dia tidak mahu beraksi untuk Real Madrid menentang Manchester City dalam saingan Liga Juara-Juara kelompok 16 terakhir hari ini.

Tetapi Zidane mendedahkan bahawa Eden Hazard cergas untuk bermain menentang City, meskipun terdapat kebimbangan mengenai buku lali pemain Belgium itu.

Bale telah disisihkan dari skuad dan tidak menyertai pasukan ke Manchester, di mana Madrid menyasarkan untuk mengubah keputusan perlawanan setelah ketinggalan 2-1 dalam pusingan pertama Februari lalu untuk mara ke suku akhir.

Menurut sumber terdekat Bale memberitahu Zidane bahawa dia tidak mahu menyertai rakan sepasukannya, selepas mengetahui bahawa dia tidak tersenarai dalam skuad, tetapi membe-ritahu dia bersedia untuk beraksi.

“Ini adalah hubungan rasa hormat antara pemain dan jurulatih,” Zidane berkata dalam sidang media kelmarin.

Zinedine Zidane berkata Gareth Bale tidak mahu bermain menentang Manchester City dalam saingan Liga Juara-Juara. – AP

“Dia memilih untuk tidak bermain, tiada sebab lain, dan selebihnya adalah antara saya dan dia.”

Zidane memberitahu bahawa ia adalah mengenai keputusan peribadi dan bukan atas sebab teknikal tetapi tidak menyebutkan dengan lebih lanjut, dengan menegaskan ‘ada perkara yang tidak perlu diluahkan di luar bilik persalinan’.

Ini telah menjadi satu lagi titik rendah buat Bale pada musim yang bergolak, di mana dia hanya memulakan satu perlawanan dalam 11 perlawanan terakhir Madrid selepas La Liga disambung pada Mac. Ditanya mengenai masa depan Bale di Madrid, Zidane menjawab, “Gareth Bale adalah pemain Real Madrid, tiada yang berubah dan saya menghormatinya sama seperti pemain lain.”

Zidane mendedahkan lebih banyak berita positif mengenai Hazard, yang disahkan cergas untuk beraksi menentang City, meskipun mengalami sedikit masalah pada bahagian buku lali bulan lalu.

“Dia mengalami sedikit masalah pada penghujung musim La Liga, tetapi kini dia merasa lebih baik dan kami mempunyai masa untuk membuat persediaan,” kata Zidane. – AFP