PARIS, 9 Jan – Pengurus Real Madrid dan legenda Perancis Zinedine Zidane dipilih sebagai Jurulatih Terbaik Perancis oleh Majalah France Football untuk tahun kedua berturut-turut susulan kejayaannya pada 2017 dengan merangkul lima trofi.
Zidane membantu Real Madrid memperolehi gelaran La Liga, Liga Juara-Juara UEFA, Piala Super UEFA, Piala Super Sepanyol dan Piala Kelab Dunia FIFA pada 2017. Skuad kendaliannya merupakan pasukan pertama yang berjaya mengekalkan gelaran dalam era Liga Juara-Juara.
Pengurus dari Perancis itu mengatasi jurulatih kebangsaan Perancis Didier Deschamps dan pengurus Lyon Bruno Genesio dan menerima anugerah itu di tempat latihan kelab.
Zidane juga dianugerahkan Jurulatih Lelaki Terbaik FIFA 2017 sebelum menerima anugerah terbarunya ini.
Walau bagaimanapun, Real Madrid kini mengalami musim yang berbeza dari musim lepas terutama dalam saingan liga di mana gergasi Sepanyol itu ketinggalan 16 mata di belakang pendahulu liga Barcelona.

Real Madrid akan berdepan Paris Saint-Germain dalam pusingkan ke-16 Liga Juara-Juara di mana gergasi Perancis itu memiliki pemain seperti bintang Brazil Neymar dan pemain muda sensasi Perancis Kylian Mbappe. PSG mempunyai matlamat untuk merebut gelaran Liga Juara-Juara itu.
“Saya mempersiapkan diri dalam apa jua keadaan. Saya tidak terperanjat jika aksi tidak menyebelahi mereka. Hari ini, bahaya sudah nampak tetapi saya tidak akan berubah,” Zidane memberitahu majalah France Football yang akan dikeluarkan hari ini.
“Sesetengah orang akan kata semuanya nampak senang, apa yang saya buat berdasarkan naluri tetapi itu tidak benar! Sama ada sebagai pemain atau jurulatih, saya sentiasa bekerja keras,” kata Zidane.
“Saya tidak merasa selamat dengan pencapaian saya sebagai pemain untuk kelab ini. Zinedine Zidane bukan lagi pemain Real. Zidane itu tidak wujud lagi.” – AFP