Zidane hasrat pertahan rekod sempurna UCL

LONDON, 5 OGOS – Zinedine Zidane mungkin tidak akan dilantik sebagai jurulatih Real Madrid tanpa kejayaan Guardiola bersama Barcelona, tetapi kini, Guardiola mesti mengikut jejak pengurus dari Perancis itu untuk melengkapkan misinya di Manchester City.

Pasukan Zidane, Madrid akan membuat perjalanan ke Manchester City pada Jumaat untuk mengatasi defisit 2-1 pada pusingan pertama Februari lalu selepas Liga Juara-Juara disambung semula berikutan lima bulan digantungkan kerana koronavirus yang kini masih melanda dunia.

Banyak perubahan telah dilakukan dan dilihat sejak kedua-dua pasukan tersebut bertemu.

Zidane, yang kembali menjadi pengurus Madrid buat kali kedua, sekali lagi berjaya memecahkan dominasi Barcelona di La Liga dengan 10 kemenangan berturut-turut selepas bola sepak Sepanyol kembali bersambung pada Jun lalu untuk merangkul gelaran juara.

Dengan kelab yang lebih mementingkan kejayaan Liga Juara-Juara berbanding yang lain, tekanan ke atas Zidane sedikit berkurang ketika dia berhasrat untuk mempertahankan rekod sempurna dalam kejohanan itu sebagai seorang pengurus.

Zidane telah tiga kali membawa Madrid kepada kejayaan Liga Juara-Juara dalam musim pertamanya antara tahun 2016 dan 2018 dan dia masih belum pernah disingkirkan dari kejohanan itu sebagai seorang pengurus.

“Apabila dia melakukan segala tugasan, memenangi tiga piala Liga Juara-Juara berturut-turut, merampas takhta La Liga dari Barcelona apabila mereka – dalam dekad ini – telah mendominasii kejohanan tidak seperti kelab lain, ia menunjukkan kemampuan sebenarnya,” Guardiola memberitahu DAZN.

“Walaupun orang tidak mempercayai saya kerana dia dari Real Madrid, saya sangat gembira bagaimana keadaan berjalan dengan lancar kerana ia adalah sangat bagus untuk bola sepak berada dalam keadaan baik untuk orang-orang seperti dia.”– AFP