MADRID, 10 Jan – Jurulatih pasukan Real Madrid, Zinedine Zidane mempertahankan para pemainnya dan menolak perbincangan krisis yang berlaku dalam juara Sepanyol itu dan Eropah tersebut selepas menyaksikan mereka ketinggalan lebih jauh di belakang pendahulu La Liga, Barcelona.
Madrid menamatkan tahun cemerlang 2017 dengan kekalahan 3-0 di gelanggang sendiri kepada pesaing mereka dalam persaingan Clasico dan persaingan awal mereka dalam La Liga pada 2018 menyaksikan mereka hanya mampu seri 2-2 di Celta Vigo pada Ahad lalu. Ia bermakna mereka berada di tangga keempat, 16 mata di belakang Barca, pasukan pendahulu yang belum pernah kalah, ketika peringkat separuh masa pertama musim ini semakin hampir. Mereka memiliki satu perlawanan dalam tangan, tetapi harapan mereka untuk mempertahankan gelaran jelas sudah berkecai.
“Apabila ada perkara yang silap, saya bukanlah seseorang yang menyalahkan dua atau tiga pemain.
“Kami semua berada dalam bot yang sama, semuanya bertanggungjawab, saya adalah yang pertama sebagai jurulatih,” kata pengurus dari Perancis itu ketika dia enggan untuk menyalahkan mana–mana individu skuadnya bagi kehambaran rentak mereka.
“Kami mempunyai dua tahun yang menarik dan orang ramai tidak seharusnya melupakannya. Saya tahu perlawanan seterusnya adalah penting. Kami tidak akan hidup pada masa lalu, begitu juga tidak akan melepaskan apa yang sudah dilakukan.”
Real bersedia bagi pusingan 16 Copa del Rey hari ini, perlawanan kedua di gelanggang sendiri menentang Numancia pasukan divisyen dua, yang seharusnya adalah formal selepas mereka menang 3-0 di Soria minggu lalu.
Zidane, yang dinamakan jurulatih tahunan terbaik Perancis bagi tahun 2017 oleh majalah France Football selepas membawa Madrid merekodkan lima trofi dalam tempoh 12 bulan, semalam mengadakan pertemuan bersama skuadnya yang menangguhkan sidang akhbar pra perlawanan.
“Saya tidak akan memberitahu anda apa yang kami katakan, ia adalah salah satu daripada perbincangan untuk pasukan.
“Anda boleh menilainya bila anda suka, menggelarnya krisis atau apa saja, tetapi kami mencari penyelesaian dan untuk menjadikan perkara lebih baik lagi,” katanya.
“Apabila perkara tidak berjalan seperti yang kami mahukan, kami perlu melakukan tugas. Pemain-pemain memikirkan keadaan yang sama, kami akan bekerja lebih keras dari sebelumnya, dalam setiap keadaan. Ia bukanlah perkara fizikal atau lebih dalam kepala…ia adalah sedikit dari segalanya.” – AFP