MADRID, 25 Jan – Pengendali Real Madrid, Zinedine Zidane berharap kecederaan yang dialami bintang Portugal, Cristiano Ronaldo dapat sembuh tepat pada masanya agar bagi membantu juara Eropah itu mengatasi defisit jaringan ke atas Celta Vigo dalam aksi suku akhir kedua Copa del Rey, esok.
Skuad Zidane tewas 2-1 pada aksi suku akhir pertama dan berdepan masalah kecederaan selepas Marcelo dan Luka Modric menyertai Gareth Bale, James Rodriguez, Dani Carvajal serta Pepe yang terpaksa diketepikan selepas mengalami kecederaan ketika aksi La Liga menentang Malaga, hujung minggu lalu.
Ronaldo turut mengalami kecederaan di kaki kanannya, namun Zidane menjangkakan Pemain Terbaik Dunia itu akan dapat beraksi untuk memastikan hasrat Real untuk meraih tiga kejuaraan tidak terhenti di Galicia.
“Kecederaan itu telah menjejaskannya namun ketika ini, dia sudah pulih. Cuma kecederaan kecil sahaja. Dia akan beraksi untuk perlawanan malam esok,” kata Zidane.
Zidane turut merungut mengenai reaksi penyokong dan siri kecederaan yang membelenggu Real musim ini, walaupun gergasi itu hanya merasai kekalahan pertama dalam liga di tangan Sevilla sembilan hari lalu.

Bagaimanapun, pengendali itu mencabar para pemain simpanannya supaya mengambil peluang untuk menyinar di Celta Vigo.
“Saya tidak berapa menyukainya kerana ada pemain yang terpaksa diketepikan tetapi saya tidak boleh berbuat apa-apa mengenainya.
“Pemain pastinya cedera pada setiap musim, jadi kami perlu meneruskan saingan kami dengan pemain yang sedia ada.
“Memang sukar tetapi ia adalah perlawanan yang hebat. Kami suka untuk kembali bangkit dalam perlawanan sebegini.” – AFP