Zidane semakin ‘panas’

ISTANBUL, 22 OKT – Zinedine Zidane mengakui beliau agak terjejas dengan kritikan terhadapnya sebagai jurulatih Real Madrid ketika pasukannya bersiap sedia bagi aksi penting Liga Juara-Juara di laman lawan menentang Galatasaray, awal pagi esok.

Madrid bertandang ke Turki terdesak untuk meraih kemenangan selepas satu mata daripada dua perlawanan menyaksikan mereka di tangga tercorot Kumpulan A. Kekalahan mengejut liga di tangan kelab pendatang baharu Real Mallorca, Sabtu lalu menimbulkan semula tekanan buat Zidane, yang mengemudi Madrid menang tiga trofi Liga Juara-Juara berturut-turut ketika kali pertama mengendalikan kelab itu.

“Mereka lupa dengan apa yang anda buat sebelum ini, itulah kehidupan,” kata Zidane pada sidang akhbar di Istanbul, awal pagi tadi.

“Bagi saya ia sama, ia semuanya mengenai masa kini. Apa yang berlalu sudah berlalu.

“Apa yang mereka katakan memang mengganggu saya tapi saya tidak boleh menghalang mereka memberikan pendapat. Ini satu perlawanan besar di stadium besar dan kami tahu situasinya.” – AFP

Zidane ketika menghadiri sesi latihan di Kompleks Sukan TT Ali Samiyen di Istanbul pada 21 Oktober lalu. – AFP