Zii Jia berjuang mara pusingan kedua

KUALA LUMPUR, 4 NOV – Pemain badminton perseorangan utama Malaysia, Lee Zii Jia terpaksa berhempas pulas sebelum memenangi perlawanan dan layak ke pusingan kedua Terbuka Hylo 2021 di Jerman, semalam.

Walaupun menang mudah set pertama 21-11, juara All England itu tewas kepada pemain berpe-ngalaman dari Sepanyol, Pablo Abian yang menang set kedua 23-21.

Pada set penentuan, Pablo memaksa Zii Jia untuk bekerja keras sebelum hingga ke akhir perlawanan dengan Zii Jia menang 24-22 dan layak ke pusingan kedua.

Selaku pemain pilihan kedua kejohanan Zii Jia akan bertemu pemain bukan pilihan dari Ireland, Nhat Nguyen hari ini selepas pemain itu mengalahkan H.S. Prannoy dari India 16-21, 21-17, 21-7, semalam.

Sementara itu pasangan regu yang baharu menjadi pemain profesional, Tan Kang Meng-Tan Wee Kiong menjadi satu-satunya wakil beregu lelaki negara yang melepasi pusingan pertama selepas mereka menewaskan pasangan dari Jepun, Takuto Inoue-Kenya Mitsuhashi 21-10,21-15. – Bernama