Zii Jia dicalonkan pemain paling meningkat

KUALA LUMPUR, 12 NOV – Juara All England 2021, Lee Zii Jia dicalonkan dalam kategori Pemain Paling Meningkat Tahun Bagi Tahun 2020/2021 dalam Anugerah Pemain Terbaik Tahunan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) tahun ini.

Bagaimanapun, Zii Jia akan dicabar oleh rakan sepasukan pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang turut disenaraikan dalam kategori itu, menurut satu kenyataan yang dikeluarkan BWF kelmarin.

Turut tersenarai pemenang pingat emas beregu lelaki Olimpik Tokyo, Wang Chi-Lin-Lee Yang dari China Taipei dan pemain perseorangan wanita nombor 10 dunia, Pornpawee Chochuwong dari Thailand.

Sementara itu, juara perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) Paralimpik Tokyo, Cheah Liek Hou merupakan pesaing di dalam kategori Pemain Lelaki Badminton Para Terbaik Tahunan. Pramod Bhagat dari India, Daiki Kajiwara (Jepun), Kim Jongjun (Korea Selatan), Lucas Mazur (Perancis) dan Qu Zimo (China) juga di senarai pendek dalam kategori sama dengan Liek Hou.

Dalam pada itu dua pemain Denmark – Juara Olimpik Tokyo, Viktor Axelsen dan Anders Antonsen akan bersaing dalam kategori Pemain Lelaki Terbaik Tahunan dengan dua lagi pemain, Wang Yi Lyu dari China dan Yuta Watanabe dari Jepun.

Calon-calon bagi kategori Pemain Wanita Terbaik Tahunan adalah wakil China, Chen Yu Fei diikuti Carolina Marin dari Sepanyol, Tai Tzu Ying (China Taipei) dan Akane Yamaguchi (Jepun). – Bernama