Zii Jia hampir rangkul kejuaraan pertama

KUALA LUMPUR, 7 NOV – Perseorangan lelaki utama Malaysia, Lee Zii Jia semakin hampir merangkul kejuaraan pertamanya dalam tempoh lapan bulan selepas mara ke pusingan akhir Terbuka Hylo 2021 di Jerman, awal hari ini, waktu Malaysia.

Pemain pilihan kedua itu menewaskan pemain pilihan keenam, Srikanth Kidambi dari India di separuh akhir untuk peringkat akhir menentang pemain bukan pilihan, Loh Kean Yew dari Singapura, lewat hari ini.

Bagaimanapun ia bukanlah perjalanan mudah buat Zii Jia kerana Srikanth mempamerkan daya tahan yang mantap pada set pertama sebelum pemain Kedah itu mencatat kemenangan tipis 21-19.

Pada set kedua, Zii Jia sekali lagi terselamat apabila pemain nombor lapan dunia itu bangkit daripada ketinggalan 9-15 untuk mengejar Srikanth dan akhirnya bernasib baik untuk mara ke peringkat akhir selepas menang 22-20.

Ini adalah peringkat akhir pertama Zii Jia selepas menewaskan pemain nombor dua dunia, Victor Axelsen dari Denmark 30-29, 20-22, 21-9 untuk memenangi Kejohanan Badminton All England 2021 di Birmingham, England, Mac lepas. – Bernama