KUALA LUMPUR, 22 APRIL – Jaguh perseorangan badminton lelaki Malaysia, Lee Zii Jia, yang kembali ke kem latihan pusat selepas dua hari tidak hadir, mahu memberi sepenuh tumpuan agar dapat beraksi dengan baik pada Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Manila, Filipina dari 26 April hingga 1 Mei ini.
Pemain berusia 24 tahun itu yang bakal berlepas ke Manila esok, berkata daripada segi persiapan segalanya berjalan lancar sejak latihan pusat bermula Jumaat lepas.
“Saya ada hal peribadi, sebab itu saya mohon kebenaran daripada BAM (Persatuan Badminton Malaysia untuk keluar kem). Ya, dapat kebenaran. (Pemain beregu lelaki bebas ) Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi juga tak datang hari ini, jadi saya rasa tak ada masalah.
“Saya ada di sini hari ini, jadi sepatutnya bukan masalah besar. Ini BAC pertama saya dan ia satu kejohanan besar. Sudah tentu saya mahu beraksi sehabis baik,” katanya kepada pemberita di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini.
Pemain nombor tujuh dunia itu berkata semua pasukan dijangka menghantar pemain terbaik mereka pada kejohanan tertinggi itu, untuk mempamerkan kekuatan masing-masing sebelum beraksi di final Piala Thomas dan Piala Uber di Bangkok, Thailand pada 8 hingga 15 Mei ini.
Selepas kejohanan di Manila, pemain Malaysia dijangka berlepas ke Bangkok, iaitu mereka akan menjalani kem latihan terakhir menjelang kejohanan dunia berpasukan lelaki dan wanita itu. – Bernama