Zii Jia perlu lebih konsisten

KUALA LUMPUR, 26 JAN – Peluang untuk Lee Zii Jia beraksi di Sukan Olimpik 2020 dilihat cerah namun pemain perseorangan lelaki negara itu perlu lebih konsisten untuk mendapatkan keputusan lebih baik di Tokyo nanti.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata Zii Jia perlu berusaha lebih keras dalam memperkemaskan mutu permainannya termasuk memastikan ketahanan dari segi mental dan fizikal berada dalam keadaan lebih baik.

“Peluang Zii Jia ke Olimpik sangat cerah cuma kita melihat tidak konsisten daripada prestasi yang beliau tunjukkan itu. Bagi saya mungkin ada perkara yang beliau perlu lebih untuk diperkemaskan, contohnya dari segi mental dan fizikal,.

“Kita lihat bahawa kalau pemain lain (negara lain) konsisten dari satu pertandingan ke satu pertandingan lain, tapi pemain negara masih lagi tidak konsisten,” katanya.

Mohamad Norza berkata beliau sudahpun berbincang dengan Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh dan Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann untuk memastikan pemain negara mengetahui kelemahan mereka sebelum beraksi di Tokyo 2020 nanti.

Reaksi Atlet Lee Zii Jia selepas tewas dengan Kento Momota dari Jepun dalam perseorangan lelaki pada kelayakan Kejohanan Badminton Perodua Malaysia Master 2020 di Axiata Arena Bukit Jalil baru-baru ini. – Bernama

Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai prestasi memberangsangkan beregu lelaki profesional negara,

Teo Ee Yi-Ong Yew Sin yang mara ke final Thailand Masters, hari ini, Mohamad Norza berkata:

“Saya mahu merakamkan tahniah kepada Teo-Ong kerana mara ke final dan saya harap mereka dapat menang hari ini. Tahniah juga kepada pasangan lain yang mara ke separuh akhir, semalam.

“Ini menunjukkan bahawa persaingan antara pemain bebas dan pemain BAM adalah sangat baik. Ia adalah satu perkembangan positif dan cukup baik untuk badminton negara,” katanya.

Mohamad Norza juga berkata berdasarkan prestasi semasa pemain BAM dan pemain bebas ini, beliau percaya persaingan untuk merebut slot ke Tokyo 2020 menjadi lebih sengit. – Bernama