Wednesday, March 19, 2025
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Zii Jia tarik diri daripada Terbuka Swiss akibat cedera

    KUALA LUMPUR, 13 MAC – Pemain badminton perseorangan lelaki Malaysia, Lee Zii Jia, menarik diri daripada menyertai Terbuka Swiss yang dijadualkan berlangsung di Basel Switzerland, minggu hadapan.

    Menurut kenyataan dikeluarkan di media sosial oleh Team LZJ hari ini, pemain berusia 26 tahun itu cedera pada ligamen buku lalinya yang menyebabkan beliau terpaksa menarik diri daripada kejohanan itu.

    “Team LZJ boleh sahkan bahawa Zii Jia menarik diri daripada Terbuka Swiss di Basel disebabkan kecederaan buku lali kanannya.

    “Zii Jia akan mendapatkan rawatan selanjutnya sebelum sebarang pengumuman mengenai rancangan kejohanan yang akan disertainya dibuat,” menurut kenyataan itu.

    Untuk rekod, Zii Jia mengalami kecederaan di Jelajah Akhir BWF Dunia pada Disember tahun lepas, namun masih menyertai Kejohanan All England.

    Bagaimanapun, pemain nombor lapan dunia itu tersingkir awal daripada All England selepas kalah kepada pemain bukan pilihan dari Hong Kong, Angus Ng Ka Long 16-21, 12-21 pada pusingan pertama, semalam. – Bernama

    Aksi Lee Zii Jia membuat pukulan dalam sukan Olimpik di Paris, Perancis. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda