Zii Jia tidak mahu dabik dada

KUALA LUMPUR, 9 Okt – Pemain badminton perseorangan lelaki Malaysia, Lee Zii Jia tidak mahu terus terbuai dengan kejayaannya merangkul kejuaraan Terbuka Taiwan, sebaliknya mahu mengekalkan konsisten pada kejohanan akan datang.

Zii Jia, 20, berkata beliau tidak mahu berasa selesa dengan kemenangan itu kerana mengakui kariernya dalam arena badminton masih jauh dan perlu kembali cergas menempuh perlawanan seterusnya di Terbuka Macau, 30 Oktober ini.

Pada aksi final Terbuka Taiwan, Ahad lepas, Zii Jia menewaskan pemain Jepun, Riichi Takeshita 21-17, 16-21, 21-11.

“Kalau terlalu meraikan kejayaan ini, saya nampak seperti sombong, jadi saya rasa lebih baik fokus dan kembali berlatih seperti biasa. Saya mahu terus kekal merendah diri, kemenangan itu permulaan terbaik untuk saya,” katanya ketika ditemui pemberita di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara hari ini.

Zii Jia menamatkan kemarau 14 tahun gelaran perseorangan lelaki Malaysia pada kejohanan itu selepas kali terakhir menerusi Datuk Lee Chong Wei pada 2004. Datuk Misbun Sidek pernah memenangi kejohanan itu pada 1987 dan Wong Choong Hann (2003).

Sementara itu, Zii Jia berkata dia dan rakannya dalam kem perseorangan lelaki perlu bekerja keras serta mempunyai keazaman tinggi untuk menggalas cabaran negara. “Semua kena galas tanggungjawab, termasuk diri saya, Leong (Jun Hao) dan Soong (Joo Ven). Kami perlu serius dan bekerja keras lagi untuk menggalas tanggungjawab kem perseorangan lelaki,” katanya.

Kejuaraan Terbuka Taiwan merupakan gelaran antarabangsa kedua buat Zii Jia selepas memenangi Terbuka Poland 2017. – Bernama