Zii Jia yakin mampu benam Kanada

AARHUS, DENMARK, 11 OKT – Kapten skuad Piala Thomas Lee Zii Jia (gambar) optimis pasukan negara yang turun beraksi menentang Kanada esok (awal pagi Rabu waktu Malaysia) mampu mencatatkan kemenangan sekali gus mencapai misi memburu slot ke suku akhir kejohanan berkenaan.

Juara All England yang juga perseorangan utama negara menaruh kepercayaan berdasarkan kekuatan perseorangan kedua dan ketiga Malaysia yang mampu mengatasi pemain Kanada pada aksi di Ceres Arena, di sini.

Selain Zii Jia, Malaysia turut menyenaraikan pemain muda seperti Ng Tze Yong, Cheam June Wei, Leong Jun Hao dan Aidil Sholeh Ali Sadikin dalam perseorangan lelaki.

Namun, sebagai perseorangan utama, pemain berusia 23 tahun itu mengakui cabaran besar menantinya apabila berdepan bintang muda berusia 19 tahun Brian Yang yang mendapat tonik selepas mencipta kejutan ke atas pemain di ranking ketujuh dunia dari Indonesia Jonatan Christie apabila menang 9-21, 22-20, 21-18 pada saingan Piala Sudirman.

Kejutan sekali lagi dilakukan Brian dalam aksi pertama Kumpulan D pada Ahad selepas pemain di ranking ke-39 dunia itu menewaskan pemain di ranking ke-13 Kanta Tsuneyama dari Jepun 1-18, 19-21, 21-13.

“Secara keseluruhan saya rasa dia pun seorang pemain yang melakukan serangan dan berada pada tahap keyakinan tinggi sebagai pemain baharu meningkat selepas menewaskan Jonatan. Tanpa sebarang tekanan, beliau akan lawan semua (pemain), ia memang akan menjadi cabaran buat saya,” katanya.- Bernama