Zikrullah tenangkan dan dekatkan diri kepada pencipta

Oleh Nurdiyanah R.

Sudah menjadi lumrah kehidupan, hati manusia itu memang mudah berbolak balik, ada kalanya gembira, sedih, takut dan gelisah.

Tambahan pula ketika berdepan dengan situasi dunia ketika ini yang dibelenggu penularan wabak, fikiran dan jiwa kita tercari-cari jalan keluar demi menguatkan diri semula dan mencari ketenangan yang sebenar.

Mereka yang sentiasa membasahkan lidah dengan berzikir dan mengingati Allah SWT, jiwa dan perasaannya akan sentiasa dalam keadaan tenang walaupun pelbagai cabaran yang mendatangi hidup mereka.

“Hakikatnya, zikrullah adalah satu ibadat yang istimewa kerana ia terbuka dan mudah diamalkan meskipun seseorang itu berada dalam apa-apa keadaan pun. Dengan izin dan pertolongan Allah SWT, hati kita pasti akan tenang kembali.

“Firman Allah dalam Surah Ar-Ra`d, ayat 28 yang tafsirnya: (Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan meng-ingati Allah, hati menjadi tenteram.”

Begitulah antara perkongsian daripada Penolong Kaunselor, Jabatan Penjara, Awang Fariszal bin Ali semasa menyampaikan bengkel berjudul Terapi Zikir yang berlangsung secara maya menerusi aplikasi Zoom anjuran Cureheart, Global Shapers Community BSB, PEKA Consultant dan Clarity Sdn Bhd bersempena dengan Hari Kesihatan Mental Sedunia Brunei Darussalam, baru-baru ini.

Awang Fariszal semasa menyampaikan bengkel berjudul Terapi Zikir yang berlangsung secara maya menerusi aplikasi Zoom anjuran Cureheart, Global Shapers Community BSB, PEKA Consultant dan Clarity Sdn Bhd bersempena dengan Hari Kesihatan Mental Sedunia Brunei Darussalam, baru-baru ini.

Terapi, zikir dan zikrullah

Sebelum mengulas lebih lanjut, Awang Fariszal menjelaskan terapi itu bermaksud rawatan sesuatu penyakit fizikal atau mental secara proses pemulihan tanpa penggunaan ubat atau pembedahan. Dengan erti kata lain, ia merupakan pekerjaan aktiviti fizikal atau mental yang dilakukan untuk membantu merawat, memulihkan atau mengatasi masalah-masalah fizikal, emosi atau sosial yang dihadapi oleh seseorang.

Tambah beliau, terapi itu terbahagi kepada beberapa jenis mengikut bidang-bidang tertentu antaranya terapi kaunseling, terapi dalam perubatan, terapi dalam sukan, terapi dalam seni dan sebagainya.

“Manakala zikir menurut bahasa bermaksud sesuatu yang disebut dengan lisan atau menghadirkan sesuatu pada hati dan menurut istilah pula, zikir ialah ingatan hamba kepada Tuhannya sama ada dari segi zat, sifat, perubatan dan hukum, melalui membaca Al-Quran, berdoa, menyucikan, memuliakan, mentauhidkan, memuji, mensyukuri dan mengagungkanNya. Zikrullah itu pula ialah mengingati Allah SWT dengan lisan, perbuatan dan hati,” jelasnya lagi.

Rawat hati dengan zikir

Awang Fariszal menjelaskan lagi bahawa zikir itu merupakan amalan yang disyariatkan dalam Islam di mana segala perintah berzikir itu banyak disebutkan dalam Al-Quran dan as-sunnah.

“Sungguh hati kita ini sering dalam keadaan tidak stabil kadang kala lemah dan ada masanya kuat, maka dengan amalan zikir ia dapat merawat hati kita. Zikir itu mengandungi pelbagai jenis merangkumi tasbih, tahmid, takbir, tahlil, membaca Al-Quran dan sebagainya. Namun hakikatnya yang menjadi intipati dari semua jenis zikir itu ialah ingat kepada Allah SWT,” ujarnya lagi.

Beliau turut berkongsi bahawa zikir itu merangkumi dua perkara iaitu sebutan (zikir lisan) dan ingatan (zikir hati) terhadap Allah SWT dan perkara yang berkaitan dengannya. Ingatan adalah hakikat zikir manakala sebutan pula adalah laluan untuk mencapai ingatan tersebut.

Zikrullah salah satu bukti keimanan

Awang Fariszal juga menekankan bahawa kita perlu menghiasi diri kita dengan zikrullah kerana ia merupakan salah satu bukti keimanan seorang hamba kepada yang Maha Pencipta iaitu Allah SWT.

Sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Ahzab, ayat 41 hingga 42 yang tafsirnya:

“Wahai orang yang beriman, ingatlah (berzikirlah) serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kamu kepadaNya pada waktu pagi dan petang.”

Selain itu, dengan mengamalkan zikrullah juga, seseorang itu akan mendapat bantuan dan pertolongan dari Allah SWT seperti terlepas dari segala musibah dan juga diampunkan segala dosa-dosanya. Dengan zikrullah juga, ia menjadi benteng atau perisai kepada para pengamalnya sehingga mampu meningkatkan keyakinan dan keimanan dalam meniti kehidupan yang penuh cabaran ini.

Begitulah fadilat apabila seseorang mengamalkan zikir dalam kehidupan sehari-hari, keindahan alunan zikir dan getarannya pastinya mampu mengingati kita sebagai hamba Allah yang hanya menumpang di dunia yang sementara ini bahawa betapa besarnya nikmat dan kebesaran Ilahi yang tidak terhingga banyaknya dan dengan zikrullah hati kita akan sentiasa tenang.