Monday, December 2, 2024
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Zimbabwe berkabung untuk wira pembangkang

    BUHERA, Zimbabwe, 21 Feb – Ribuan rakyat Zimbabwe berkumpul kelmarin untuk mengucapkan selamat tinggal kepada pembangkang veteran, Morgan Tsvangirai yang merupakan salah seorang ahli politik Afrika yang paling dikagumi.

    “Kami sedang meraikan seorang wira,” kata Pemangku Presiden bagi parti Pergerakan untuk Perubahan Demokratik (MDC), Nelson Chamisa.

    Tsvangirai, 65, meninggal dunia pada Rabu lalu di sebuah hospital di Afrika Selatan, di mana dia telah menjalani rawatan untuk kanser usus.

    Mayatnya diterbangkan menggunakan helikopter tentera ke upacara pengebumiannya, disertai oleh ibunya, Mbuya Tsavangirai.

    Beribu-ribu orang yang berkabung, meredah hujan, berkumpul untuk pengebumiannya di kampung Tsvangirai, Buhera, 220 kilometer di selatan Harare.

    Seorang daripada penyokong Tsvangirai memegang potret pemimpin wira pembangkang itu di upacara pengebumiannya di luar bandar Humanikwa di kampung Buhera pada 20 Februari 2018. – AFP

    Naib Presiden Zimbabwe, Oppah Muchinguri turut menghadiri upacara pengebumian itu bersama diplomat Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

    Orang ramai meniup wisel dan memakai baju merah serta membawa sepanduk potret Tsvangirai. Ada daripada mereka juga menangis kesedihan.

    Semasa hidupnya, Tsvangirai bercita-cita untuk mengulingkan musuh politiknya, Robert Mugabe tetapi gagal.

    Namun dia berjaya melihat Mugabe meletak jawatan pada November lepas atas desakan oleh partinya sendiri, sekali gus mengakhiri pemerintahannya yang bertahan selama 37 tahun.

    Mugabe yang berusia 94 tahun hari ini, dan isterinya, Grace menghantar ucapan takziah kepada ahli keluarga Tsvangirai. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda