Zimbabwe keluarkan wang kertas baharu

HARARE, 13 NOV – Bank Pusat Zimbabwe mengeluarkan wang kertas dan wang syiling baharu bagi ekonomi wang tunai semalam bagi mengurangkan kekurangan kronik tetapi pengeluaran mingguan masih dihadkan AS$18 kepada setiap pelanggan – Jumlah yang mengambil kira kurang daripada harga tiga kilogram daging lembu.

Dolar Zimbabwe sedang diperkenalkan secara beransur-ansur selepas menghadapi kejatuhan nilai sejak sedekad lalu atas kesilapan pengurusan ekonomi di bawah bekas presiden Robert Mugabe. Sedekad lalu, hiperinflasi mencecah 500 bilion peratus, memaksa negara tersebut membuang mata wang sendiri.

Zimbabwe terpaksa bergantung kepada dolar Amerika Syarikat (AS) untuk satu dekad sehingga Jun tahun ini apabila pihak berkuasa mengharamkan penggunaan dolar AS.

Wang kertas Zimbabwe baharu – dua dan lima dolar telah dikeluarkan oleh bank pusat. Satu dolar Zimbabwe kini bernilai sekitar enam sen AS. – AFP