Thursday, April 25, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Zimbabwe pindah ribuan haiwan liar akibat perubahan iklim

    HARARE, ZIMBABWE, 1 SEPT – Zimbabwe telah mula memindahkan lebih 2,500 haiwan liar dari tempat pemeliharaan di selatan ke utara negara itu dalam usaha menyelamatkannya daripada kemarau yang disebabkan oleh kemusnahan perubahan iklim sekali gus mencetuskan pemburuan haram sebagai ancaman terbesar kepada hidupan liar.

    Dengan bantuan helikopter, ribuan ekor impala dikepung masuk ke dalam kandang. Sebuah kren mengangkat gajah yang sudah dibius ke dalam treler. Sementara itu, sekumpulan renjer memandu haiwan lain ke dalam sangkar logam dan konvoi trak memulakan perjalanan kira-kira 700 kilometer untuk membawa haiwan itu ke rumah baharunya.

    Kira-kira 400 ekor gajah, 2,000 impala, 70 zirafah, 50 kerbau, 50 seladang, 50 kuda belang, 10 singa dan sekumpulan 10 ekor anjing liar adalah antara haiwan yang dipindahkan dari Save Valley Conservancy di Zimbabwe ke tiga konservasi utara, Matusadonha dan Chizarira dalam salah satu latihan penangkapan dan pemindahan haiwan hidup terbesar di selatan Afrika.

    Ini kali pertama dalam tempoh 60 tahun Zimbabwe memulakan pemindahan hidupan liar secara besar-besaran. Antara tahun 1958 dan 1964 ketika negara itu dikuasai oleh minoriti kulit putih Rhodesia, lebih daripada 5,000 haiwan telah dipindahkan dalam Operasi Nuh. Operasi itu menyelamatkan hidupan liar daripada banjir disebabkan oleh pembinaan empangan hidro-elektrik besar di Sungai Zambezi yang mencipta salah satu tasik buatan manusia terbesar di dunia, Tasik Kariba.

    Namun kali ini kekurangan air telah menyebabkan ratusan hidupan liar perlu dipindahkan disebabkan habitatnya semakin mengering akibat kemarau yang berpanjangan, kata jurucakap Pihak Berkuasa Pengurusan Taman Negara dan Hidupan Liar Zimbabwe, Tinashe Farawo. Satu pilihan yang ada ialah pemusnahan binatang untuk mengurangkan bilangan hidupan liar, tetapi kumpulan pemuliharaan haiwan liar membantah pembunuhan sedemikian kerana bersifat kejam. Kali terakhir Zimbabwe melakukan pemusnahan adalah pada 1987, kata Farawo.

    Kesan perubahan iklim terhadap hidupan liar tidak terkecuali di Zimbabwe. Di seluruh Afrika, taman negara yang menempatkan pelbagai spesies hidupan liar seperti singa, gajah dan kerbau semakin terancam oleh hujan di bawah purata dan projek infrastruktur baharu. Pihak berkuasa dan pakar berkata kemarau telah mengancam spesies seperti badak sumbu, zirafah dan antelop kerana ia mengurangkan jumlah makanan yang ada. – AP

    Beberapa ekor gajah semasa hendak dinaikkan ke dalam kenderaan pengangkutan di Taman Negara Liwonde, selatan Malawi, pada bulan Julai lalu. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...