Tuesday, April 29, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Zingiber Officinale serlahkan konsep taman tropika

    SETENTUNYA ramai yang mengetahui halia atau nama saintifiknya Zingiber Officinale sering digunakan dalam masakan. Namun tanaman hiasan yang dipaparkan ini adalah spesies daripada Zingiber yang tergolong dalam keluarga tumbuhan Zingiberaceae.

    Spesies ini adalah sejenis tumbuhan liar yang didapati tumbuh meliar di kawasan belukar di kawasan kampung dan juga di ladang getah atau ladang kelapa sawit.

    Menariknya, mengenai spesies ini ialah pokoknya turut mempamerkan bunga yang berbentuk unik dan menarik tumbuh dari pangkal batangnya.

    Hakikatnya, yang dilihat seperti bunga yang berbentuk unik itu adalah susunan brakta atau pengasuh bunganya yang berwarna hijau pada tandannya.

    Dari dalam pengasuh-pengasuh bunganya inilah tumbuh bunganya yang sebenar dengan memiliki saiz kecil berkelopak putih.

    Daun Zingiber Officinale memiliki bentuk yang panjang serta tirus di bahagian hujungnya.
    Bunga Zingiber Officinale yang berbentuk unik merupakan susunan brakta atau pengasuh bunganya yang berwarna hijau pada tandannya.

    Bunganya yang berbentuk unik ini sangat sesuai untuk dijadikan sebagai bunga keratan dalam gubahan bunga hidup.

    Daunnya pula berbentuk panjang serta tirus di hujung agak licin dan bersinar di bahagian atasnya.

    Penanaman

    Pokok ini boleh ditanam dengan menggunakan keratan atau belahan rizom. Kaedahnya dimulakan dengan memotong rizom atau ubinya kepada beberapa potongan.

    Kemudian tanam potongan rizomnya itu dalam medium tanaman yang bersesuaian.

    Medium tanaman yang sesuai untuk penanamannya perlulah bersaluran baik di mana air siraman senang mengalir keluar dan kaya dengan kandungan humus.

    Campuran medium tanaman yang disyorkan adalah 3:2:1 merangkumi tanah peroi, bahan organik dan pasir sungai.

    Penjagaan

    Pokok jenis ini adalah sesuai untuk didedahkan kepada cahaya matahari separuh teduh dan terlindung oleh pokok lain seperti di alam semulajadinya atau lindungan jaring hitam atau hijau.

    Malah pokok ini juga sangat menyukai keadaan persekitaran dan medium tanamannya yang lembap.

    Namun begitu elakkan medium tersebut digenangi oleh air yang bertakung bagi menghindari pereputan rizomnya yang boleh mengakibatkan ia mati secara tiba-tiba.

    Untuk tanaman dalam pasu, siram dua kali sehari ketika cuaca pada hari tersebut berada dalam keadaan panas.

    Di samping itu, siram bila perlu sahaja pada hari hujan bagi mengelakkan ia tidak digenangi air sekali gus meningkatkan risiko yang boleh menyebabkan pokoknya mati.

    Baja yang sesuai untuk pokok ini adalah baja organik kerana ia kaya dengan bekalan humus yang banyak untuk pertumbuhan pokok yang lebih subur.

    Namun begitu, baja kimia juga sesuai untuk tanaman ini asalkan ia digunakan seperti kaedah yang tertera pada setiap pek baja yang digunakan.

    Idea pameran

    Pokok jenis ini sangat sesuai ditanam untuk menghiasi taman bertemakan Nusantara atau tropika dan juga Bali.

    Ia cantik untuk ditanam di atas tanah secara berkelompok untuk pameran bunga yang cantik dan unik.

    Namun begitu ia juga sesuai untuk ditanam sebagai pokok spesimen berumpun di dalam satu pasu besar yang cantik untuk dijadikan sebagai hiasan. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda