Zipse ketua baharu BMW

BERLIN, 19 JULAI – BMW berkata semalam ketua pengeluarannya Oliver Zipse akan mengganti Harald Krueger sebagai ketua eksekutif pada Ogos, tatkala syarikat gergasi kereta Jerman bercita-cita mempercepat peralihannya kepada kereta elektrik.

Krueger, yang telah dikritik kerana tidak mengemudi kumpulan dengan cepat ke arah teknologi elektrik, berkata pada awal bulan ini bahawa beliau tidak akan meneruskan penggal apabila tempoh jawatannya berakhir pada April depan.

Bagaimanapun, lembaga penyelia BMW berkata dalam satu kenyataan semalam bahawa Zipse akan mengganti beliau pada 16 Ogos.

Zipse, 55, bermula sebagai pelatih di BMW pada 1991 dan sejak itu telah memegang beberapa jawatan pengurusan.

Sebagai ketua divisyen produk, beliau menyelia 31 kilang di seluruh dunia tatkala mereka berada dalam proses untuk beralih kepada pengeluaran kereta elektrik.

Calon utama lain untuk mengetuai syarikat gergasi kereta itu dipercayai ketua penyelidikan BMW Klaus Froehlich.

Salah satu tugas utama yang menghadapi bos baharu adalah menumpu pada masa depan elektrik sebelum langkah anti-pencemaran yang lebih ketat dikuatkuasakan di EU. – AFP

Gambar fail bertarikh 21 Mac 2018 menunjukkan ahli lembaga pengeluar kereta Jerman BMW, Oliver Zipse, menghadiri sidang media di Munich, Jerman. – AP