Zizan tak simpan perasaan terhadap Hawa Rizwana

Setiap kali dilihat rapat dengan mana-mana gadis, pelakon dan pelawak Zizan Razak tidak terlepas daripada telahan nakal kononnya sedang hangat bercinta.

Terbaharu Zizan dikaitkan pula dengan penyampai berita dan pengacara Wanita Hari Ini iaitu Hawa Rizwana Redzuan.

Walaupun mengakui Hawa, 25, seorang gadis yang baik, Zizan berkata dia tidak pernah menyimpan perasaan terhadap personaliti televisyen itu.

“Saya pun tak tahu kenapa digosipkan dengan Hawa. Saya menganggap dia sebagai adik sahaja, tidak lebih daripada itu.

“Saya juga tak pernah ada perasaan kepada dia dan pada saya Hawa seorang anak yang sangat baik, adik yang sangat konsisten dengan kerja. Cara mengayuh pun menunjukkan dia seorang yang fokus dengan apa yang dia buat,” katanya kepada mStar.

Zizan Razak berkata dia tidak pernah menyimpan perasaan terhadap Hawa Rizwana Redzuan. – Agensi

Menurut Zizan atau nama sebenarnya Mohammad Razizan Abdul Razak, 36, dia tidak mahu gosip seperti ini menjejaskan nama baik mereka berdua dalam kerjaya masing-masing.

Pelakon filem Hantu Bonceng ini turut berkata mereka tidak berhubung melainkan berkaitan aktiviti beriadah.

Di samping itu, Zizan mengakui risau spekulasi mengenai mereka berdua akan mendatangkan perkara tidak baik pada masa akan datang.

“Saya sokong dia… dan pada masa sama apabila orang gosip pasal kami, saya risaukan kerjaya dia… saya pun risau dengan kerjaya saya.

“Saya pun tak nak orang bercerita begini sampai jadi gosip dan orang mula percaya yang kami ada apa-apa. Kalau tak fasal mengayuh, kami tak berhubung pun.

“Saya risau ia menjadi spekulasi yang boleh mendatangkan benda tidak baik. Saya cerita benda ni supaya orang faham yang kami hanyalah seperti abang dan adik,” jelasnya. – Agensi