Zizan tolak tepi soal jodoh

“Tiada soalan mengenai Mira Filzah dan Jennie Blackpink,” demikian pinta pelawak, Zizan Razak yang ditemui selepas majlis sidang media.

Malah, pelakon filem Polis Evo itu enggan mengulas usikan warganet berhubung sekeping gambar memaparkannya bersama tiga pelakon wanita, Juliana Evans, Emma Maembong dan Mira Filzah yang pernah dikaitkan dengannya dan kini sudahpun mendirikan rumah tangga.

“Tak mengapa, saya tidak mahu terbabit,” kata Zizan memberi jawapan ringkas, enggan mengulas perkara berkenaan.

Emosi Zizan Razak terusik apabila memikirkan keadaan kesihatan neneknya yang disyaki menghidap penyakit kanser.

Zizan atau nama sebenarnya, Mohammad Razizan Abdul Razak, 36, berkata, dia kini bercelaru dan risau memikirkan keadaan nenek sedang uzur. Justeru, meminta semua pihak memahami keadaan emosinya. Kata Zizan, ramai yang suka bergurau dengannya tanpa mengambil kira perasaannya disebabkan seorang pelawak. Sedangkan, dia juga manusia biasa dan berharap masyarakat memahami perasaannya.

“Buat masa ini, saya tak fikir mengenai kahwin atau apa sahaja ke arah jodoh. Saya tiada masalah mengenainya kerana banyak perkara lain yang lebih penting untuk diberikan perhatian. Saya menjaga ibu dan keluarga saya.

“Ditambah pula keadaan nenek sedang sakit, jadi ia agak merisaukan. Saya sudah kembali sibuk dengan kerja, nenek pula dalam keadaan uzur. Saya bimbang tidak dapat pulang ke kampung jika berlaku apa-apa kerana tidak mahu menyusahkan produksi.

“Sebab itu, emosi saya sedikit terganggu kerana kesibukan kerja dan memikirkan keadaan nenek. Sejujurnya, saya tidak mendapat rehat yang cukup selepas pulang ke kampung menziarahi nenek, baru-baru ini.

“Saya mendapat berita nenek sakit pada jam 2 pagi, saya pula baru pulang penggambaran. Saya terus bersiap pulang ke Dungun dan tiba jam 9 pagi. Saya langsung tak tidur dan hingga kini, belum dapat rehat yang mencukupi,” katanya kepada media. – Agensi

Zizan Razak berkata ramai yang bergurau dengannya tanpa mengambil kira perasaannya disebabkan seorang pelawak. – Agensi